Krisis tenaga: Senator Filipina gesa hidup semula tuntutan ke atas Sabah

Krisis tenaga: Senator Filipina gesa hidup semula tuntutan ke atas Sabah

Robin Padilla gesa Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr bertindak dan hantar utusan untuk tuntut wilayah yang kaya dengan minyak itu.

Robin Padilla
Senator Filipina Robin Padilla menggesa Pengawal Pantai Filipina digerakkan bagi memperkukuh tuntutan ke atas Sabah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang senator Filipina menggesa Presiden Ferdinand Marcos Jr untuk menghidupkan semula tuntutan negara itu ke atas Sabah yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Robin Padilla dalam kenyataan di Facebook berkata negara itu perlu bertindak dan menghantar utusan untuk menuntut hak ke atas wilayah itu.

“Tuan Presiden sekarang masa untuk menghidupkan semula tuntutan sah kita ke Sabah. Kita mesti bertindak dan menghantar utusan kita. Borneo Utara sudah kaya dengan sumber minyak.

“Tariella dan kumpulannya harus salurkan semangat patriotik mereka di pulau itu yang kelihatan ketika ketika air surut mahupun pasang,” katanya yang merujuk Timbalan Komander Markas Pemerintahan Penguatkuasaan Undang-Undang Keselamatan Maritim Filipina, Jay Tarriela.

Gesaan Padilla itu dibuat ketika dunia berdepan krisis tenaga susulan konflik di Asia Barat membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran mengakibatkan harga bahan bakar naik.

Krisis yang memuncak bulan ini menyebabkan harga minyak di pasaran global memuncak kepada lebih USD100 setong.

Tuntutan Filipina terhadap Sabah berpunca daripada warisan sejarah Kesultanan Sulu. Pada 1878, Sultan Sulu menandatangani perjanjian dengan British North Borneo Company yang memberi hak mentadbir wilayah itu.

Bagaimanapun, tafsiran terhadap perjanjian ini dipertikai, sama ada sebagai pajakan atau penyerahan kekal.

Apabila Malaysia dibentuk pada 1963, Sabah melalui proses penentuan sendiri yang diiktiraf antarabangsa, namun Filipina terus mengekalkan tuntutan berasaskan warisan Kesultanan Sulu yang tidak lagi wujud.

Pada 2016, presiden Filipina ketika itu Rodrigo Duterte pernah dilaporkan akan meneruskan tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Namun tuntutan itu bisu membeku sebelum digembar-gemburkan sekali lagi menjelang pilihan raya presiden, empat tahun lalu.

Sebelum ini, sekumpulan individu mendakwa waris Kesultanan Sulu turut membuat tuntutan terhadap Sabah di Mahkamah Arbitari Paris di Perancis namun Mahkamah Agung Perancis pada 2024 menolak sepenuhnya cabaran perundangan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.