
Dalam satu hantaran di Facebook, Tiong berkata Malaysia merekodkan 2,835,724 ketibaan pelawat antarabangsa antara 1 hingga 26 Mac, meningkat daripada 2,769,305 dalam tempoh sama tahun lalu.
Beliau berkata peningkatan jumlah pelancong itu disokong oleh permintaan kukuh dari pasaran utama Asia.
Asean kekal sebagai sumber pelawat terbesar dengan sumbangan 2.09 juta ketibaan, meningkat 0.6% tahun ke tahun.
Asia Timur merekodkan 407,171 ketibaan, meningkat 12.8%, dengan China mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 22.7%.
Eropah mencatat 124,824 ketibaan, meningkat 5.2%, manakala Oceania merekodkan antara peningkatan tertinggi, naik 20.2% kepada 33,127 pelawat.
Asia Tengah merekodkan 6,569 ketibaan, meningkat 21% berbanding Mac tahun lalu.
Asia Barat mencatat 4,398 ketibaan, merosot 40.3% tahun ke tahun, manakala Asia Selatan merekodkan 123,270 ketibaan, susut sedikit sebanyak 0.4% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Benua Amerika turut mencatat penurunan kecil dengan 36,099 ketibaan, berkurangan 0.4%.
Awal bulan ini, sebuah firma penyelidikan berkata kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) berkemungkinan terjejas susulan peningkatan ketegangan geopolitik di Asia Barat serta perubahan sentimen global.
Dalam nota penyelidikan, TA Research berkata sasaran tinggi kempen itu untuk mencapai 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa dan RM329 bilion hasil pelancongan mungkin terkesan oleh cabaran daripada konflik di Asia Barat.
Ketegangan di Asia Barat memuncak sejak 28 Feb selepas Israel dan AS menyerang Iran, yang kemudiannya bertindak balas dengan menyerang Israel serta kepentingan AS di negara Teluk.