Kerajaan teliti tambah baik kuota subsidi bahan api nelayan

Kerajaan teliti tambah baik kuota subsidi bahan api nelayan

LKIM berkata sebarang cadangan akan diteliti secara berperingkat, dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara.

Skim subsidi diesel dan petrol nelayan diperkenalkan sejak 2006 bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi, kata LKIM.
PUTRAJAYA:
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneliti cadangan penambahbaikan terhadap kuota subsidi bahan api nelayan susulan kebimbangan yang disuarakan komuniti nelayan berhubung had 50 liter sehari bagi vesel Zon A.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dalam kenyataan memaklumkan kerajaan memahami cabaran yang dihadapi nelayan, khususnya berkaitan peningkatan kos operasi serta perubahan teknologi vesel yang mempengaruhi penggunaan bahan api.

Menurut LKIM, skim subsidi diesel dan petrol nelayan yang diperkenalkan sejak 2006 bertujuan membantu meringankan sebahagian kos operasi penangkapan ikan dan bukannya menanggung keseluruhan kos operasi.

“Pada masa sama, penetapan kuota turut mengambil kira aspek kawalan, ketelusan serta kedudukan kewangan kerajaan agar bantuan dapat disalurkan secara mampan dan berkesan.

“Justeru, sebarang cadangan penambahbaikan terhadap kadar atau mekanisme subsidi akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira kebajikan nelayan serta keupayaan kewangan negara,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, LKIM menyeru nelayan dan rakyat untuk memahami cabaran dunia kini berdepan krisis tenaga global yang memberi kesan langsung kepada harga bahan api dan kos operasi.

“Kerajaan bagaimanapun kekal komited untuk mencari keseimbangan terbaik antara membantu nelayan dan memastikan kestabilan kewangan negara terus terpelihara,” menurut kenyataan itu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.