4 anggota polis direman 5 hari berkait rasuah RM12,000

4 anggota polis direman 5 hari berkait rasuah RM12,000

Mereka disyaki melakukan perbuatan itu sebagai balasan untuk tidak mengambil undang-undang terhadap individu yang didapati membawa daun ketum.

logo sprm macc
Menurut sumber SPRM, semua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik pihak ketiga.
KOTA BHARU:
Empat anggota polis direman lima hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM12,000 sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam keretanya.

Perintah reman hingga 11 April terhadap kesemua anggota polis yang bertugas di sebuah IPD di Kelantan itu dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid selepas menerima permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, keempat-empat suspek lelaki berumur lingkungan 20 hingga 40-an telah ditahan antara 9 pagi hingga 1 tengah hari semalam di pejabat masing-masing.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada Disember 2025.

“Keempat-empat suspek dipercayai telah menerima wang rasuah melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik pihak ketiga,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.