Amanah mungkin ambil pendekatan defensif pada PRU16, kata penganalisis

Amanah mungkin ambil pendekatan defensif pada PRU16, kata penganalisis

Awang Azman Pawi berkata, parti itu berdepan kelemahan struktur berbanding PAS dan mesti tonjolkan lagi identiti Islam progresifnya untuk terus raih sokongan Melayu.

amanah
Diasaskan pada 2015 oleh serpihan PAS, Amanah tonjol imejnya sebagai parti Islam berhaluan sederhana di bawah payung PH. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Amanah dijangka mengambil pendekatan defensif pada PRU akan datang dengan memberikan tumpuan ke arah mempertahankan kerusi sedia ada berbanding meluaskan pengaruh, menurut seorang penganalisis politik.

Awang Azman Pawi daripada Universiti Malaya berkata, sebarang kemajuan buat Amanah kelak mungkin bergantung pada peralihan corak pengundian dalam kalangan pengundi Melayu berhaluan sederhana atau kelemahan seterunya, khususnya berhubung isu ekonomi dan kos sara hidup.

Tambahnya, kedudukan Amanah kekal goyah di kawasan kerusi majoriti Melayu, berbanding PAS yang mempunyai kelebihan struktur.

“(PAS) mempunyai jentera akar umbi yang utuh, naratif keagamaan yang lebih ‘asli’ dalam kalangan pengundi tradisional, dan organisasi yang berdisiplin. Sebaliknya, Amanah sering dilabel sebagai alternatif lebih ‘lembut’ yang kurang berupaya membangkitkan sentimen pengundi,” katanya.

Diasaskan pada 2015 oleh serpihan PAS, Amanah menonjolkan imejnya sebagai parti Islam berhaluan sederhana di bawah payung Pakatan Harapan (PH).

Walaupun sekadar menang lapan kerusi di Dewan Rakyat, parti itu mempunyai dua menteri dan dua timbalan menteri.

Pendekatan bersederhana yang dibawakan berhubung isu Islam dan hak Melayu yang sensitif sehingga kini masih gagal menawan hati pengundi Melayu-Islam, yang telah mengalihkan sokongan mereka terutamanya kepada PAS dan Bersatu.

Awang Azman berkata, Amanah mesti memperjelas identitinya sebagai parti Islam yang progresif dan berbeza dengan PAS, bukannya sekadar wujud sebagai parti komponen PH.

“Isu pokok di sini ialah kejelasan naratif politik Amanah,” katanya menambah, desakan bagi pertukaran kepimpinan perlu ditangani secara berhati-hati memandangkan cabaran dihadapi parti itu melangkaui personaliti individu.

Mat Sabu dan pemimpin pelapis

Menurutnya, presiden parti, Mohamad Sabu, berupaya mengekalkan kedudukan Amanah agar terus relevan dalam kerajaan bersandarkan kredibilitinya serta kelebihan jalinan merentas parti. Bagaimanapun, parti itu dirasakan masih ketandusan perbezaan ideologi yang nyata di mata pengundi Melayu.

Turut berkongsi nada yang sama, Mazlan Ali daripaa Universiti Teknologi Malaysia berpandangan bahawa kepimpinan Mohamad masih lagi diperlukan buat masa ini.

“Jika kita lihat rekod prestasinya dalam PAS, beliau seorang pemimpin yang sangat kuat dan berpengaruh serta mampu menarik kehadiran orang ramai dan sokongan,” katanya.

Bagaimanapun, Mazlan berkata, Amanah perlu mula melakukan persiapan untuk peralihan kepimpinan.

“(Mohamad) tulang belakang parti, namun saya percaya Amanah mempunyai pelan peralihan kepimpinan di mana, pada masa yang sesuai, beliau akan menyerahkan pucuk pimpinan kepada generasi baharu untuk meneruskan momentum parti dalam politik Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.