
Setiausaha Agung Loke Siew Fook berkata pemimpin juga digesa menggalakkan rakyat mengambil langkah penjimatan penggunaan tenaga dan kenderaan bagi mengurangkan permintaan terhadap petroleum susulan peningkatan harga minyak global.
“DAP menyokong usaha berterusan kerajaan untuk mengurus krisis global ini secara tuntas demi kelangsungan ekonomi negara dan kehidupan rakyat serta memastikan sumber negara diurus dengan berhemah,” katanya dalam kenyataan.
Ketetapan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan CEC DAP semalam yang turut membincangkan perkembangan semasa, termasuk kesan konflik di Asia Barat terhadap krisis tenaga global.
Mesyuarat berkenaan dimaklumkan mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak yang boleh menjejaskan negara selepas Mei, susulan ketidaktentuan geopolitik semasa.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata DAP mengarahkan wakil parti dalam Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Pengasingan Kuasa Peguam Negara untuk memastikan penambahbaikan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat disegerakan.
Katanya, langkah itu penting supaya RUU berkenaan dapat dibentangkan pada sidang Parlimen Jun ini.
Selain itu, DAP turut menyeru kerajaan meneruskan dasar penempatan automatik bagi pelajar cemerlang SPM 2025 yang memperoleh 10A ke atas ke dalam program matrikulasi.
Beliau berkata, pelajar cemerlang lain juga perlu diberikan pertimbangan sewajarnya berdasarkan kapasiti sedia ada bagi memastikan akses pendidikan yang lebih adil.
Dalam pada itu, parti berkenaan turut menyokong tindakan tegas kerajaan terhadap pemandu di bawah pengaruh dadah dan alkohol yang menyebabkan kematian di jalan raya.