Sukar tembus kerusi campuran, PN kitar semula isu Umno-DAP di Perak

Sukar tembus kerusi campuran, PN kitar semula isu Umno-DAP di Perak

Penganalisis Syaza Shukri berkata strategi itu sengaja digunakan bagi menyasarkan kelompok pengundi Melayu yang masih ragu-ragu kerjasama kerajaan perpaduan.

Penganalisis berkata penguasaan hampir 70% undi Melayu bukan jaminan kemenangan mutlak buat Perikatan Nasional jika gabungan itu gagal menyelesaikan krisis dalaman.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat Perikatan Nasional (PN) terpaksa mengitar semula naratif kerjasama Umno-DAP sebagai modal politik di Perak kerana menyedari kesukaran gabungan itu menembusi kawasan kerusi campuran.
Syaza Shukri
Syaza Shukri.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, strategi itu sengaja digunakan bagi menyasarkan kelompok pengundi Melayu yang masih ragu-ragu dengan kerjasama kerajaan perpaduan.

Walaupun ada sedikit pergerakan sokongan orang Melayu ke arah PN, beliau menyifatkan ia belum cukup kuat untuk membolehkan blok pembangkang merampas Perak daripada kerajaan semasa.

“Strategi PN bersifat khusus kerana mereka tahu sukar untuk menembusi kerusi campuran. Sebab itu retorik mereka masih fokus kepada Melayu.

“Cuma ia tidak menggambarkan keseluruhan negeri (Perak) kerana landskap di sana sebenarnya masih 50-50, malah ada pengundi Melayu yang dilihat mula kembali menyokong Umno seperti dilihat dalam PRK Ayer Kuning,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ketua Bersatu Perak Ahmad Faizal Azumu mendakwa sentimen rakyat di negeri itu menunjukkan kecenderungan untuk melakukan perubahan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Beliau lebih dikenali Peja berkata, rasa tidak puas hati rakyat berpunca daripada hubungan rapat antara Umno dan DAP yang didakwanya ‘melukakan hati’ pengundi Melayu.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Bagaimanapun, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berpendapat, dakwaan Faizal lebih kepada strategi menaikkan moral penyokong berbanding realiti sebenar di lapangan.

Katanya, penguasaan hampir 70% undi Melayu bukan jaminan kemenangan mutlak buat PN jika gabungan itu gagal menyelesaikan krisis dalaman dan menyediakan saf kepimpinan berkualiti.

Menurutnya, kegagalan memperkukuh parti komponen seperti Gerakan dan MIPP menyebabkan PN kekal lemah di kawasan majmuk yang menjadi penentu kuasa di Perak.

“Tanpa strategi inklusif dan kepimpinan yang mampu meyakinkan pengundi bukan Melayu, naratif ‘rakyat mahu PN kembali’ hanya tinggal slogan kosong.

“Politik Perak menuntut lebih daripada sekadar memainkan isu Umno-DAP untuk meraih simpati. PN perlu menyelesaikan krisis dalaman dan menawarkan dasar yang mampu memikat semua segmen masyarakat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.