
Beliau berkata keputusan beliau keluar Umno dan menubuhkan Bersatu bukan untuk memecah-belahkan orang Melayu, tetapi bagi menyediakan wadah alternatif kepada mereka yang kecewa dengan parti itu di bawah kepimpinan Najib Razak.
Tetapi menurutnya, usaha menjadikan Bersatu sebagai pengganti Umno sebagai parti Melayu yang memperjuangkan bangsa, negara dan agama gagal apabila ia hanya menang 13 kerusi Parlimen pada PRU14.
Namun, Bersatu menjadi sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Mahathir dari 2018 hingga 2020 sebelum tumbang susulan ‘Langkah Sheraton’.
“Maka berlakulah perpecahan di kalangan orang Melayu kerana sokongan kepada Umno diteruskan.
“Ramai terus berada dalam Umno tidak ambil kira perubahan perjuangan, dari parti kebangsaan Umno sudah jadi parti untuk mendapat kekayaan,” kata Mahathir di Facebook mengulas dakwaan beliau sendiri menyumbang kepada perpecahan politik Melayu walaupun sering mengkritik isu berkenaan.
FMT dalam laporannya pada 2 April lalu memetik kenyataan Ketua Pemuda Amanah Hasbie Muda yang menyelar kenyataan Mahathir berhubung isu perpecahan Melayu, menyifatkan hujah bekas perdana menteri itu sebagai ‘kontradik’ dengan tindakannya sendiri.
Hasbie berkata bekas presiden Umno itu tidak sepatutnya menuding jari kepada orang lain sedangkan beliau sendiri mengasaskan beberapa parti serpihan seperti Bersatu sehingga memecahkan lagi undi Melayu.
Mahathir turut mengakui ramai juga ahli Umno yang keluar parti itu tetapi tidak menyertai Bersatu yang ditubuhkan pada September 2016.
“Maka berpecahlah orang Melayu. Jika majoriti mereka sertai Bersatu maka perpecahan dikalangan orang Melayu tidak akan berlaku.
“Jika Bersatu tidak ditubuh perpecahan akan berlaku juga kerana ada beberapa parti lain ditubuh. Dengan menyertai parti-parti lain ini orang Melayu terus berpecah,” katanya.
Mahathir turut mengulangi gesaan gagasan ‘payung besar’ untuk menghimpunkan orang Melayu dalam satu organisasi, yang menurutnya boleh memperkukuh kedudukan mereka dan meningkatkan peluang memenangi pilihan raya umum.