Komen Wan Azri berkait penyelesaian saman diteliti, kata Fahmi

Komen Wan Azri berkait penyelesaian saman diteliti, kata Fahmi

Menteri komunikasi berkata pasukan peguamnya sedang teliti sama ada komen dibuat langgar terma penyelesaian.

Wan Azri Wan Deris
Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa membuat kenyataan disifatkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sebagai ‘merunsingkan’ selepas kes saman antara mereka selesai semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pasukan peguam kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil sedang meneliti komen dibuat Wan Muhammad Azri Wan Deris di media sosial berhubung kes saman antara mereka yang diselesaikan semalam.

Fahmi berkata, beliau menerima maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai kenyataan terbaharu Wan Azri itu dan akan mendapatkan nasihat peguam bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran terhadap terma penyelesaian yang telah dicapai di mahkamah atau sebaliknya.

“Semalam, selesai dua kes daripada tiga dalam hal ini, yang mana pertama dengan Mohd Fauzan (Mohd Fauzan Madzlan) kedua dengan Wan Muhammad Azri, dan ketiga dengan Ahmad Dusuki (Ahmad Dusuki Abd Rani).

“Kes pertama dan kedua telah selesai, namun malangnya dari petang semalam hingga lewat malam, saya telah dihubungi oleh pelbagai pihak yang telah mengambil tangkap layar beberapa komen dibuat oleh Wan Muhammad Azri dalam Facebook dan TikTok.

“Ini agak merunsingkan dan saya terkejut dengan kenyataan yang telah beliau (Wan Muhammad Azri) lakukan. Dengan bantuan rakan-rakan, saya telah kumpul semua kandungan yang telah Wan Muhammad Azri muat naik dalam pelbagai platform,” katanya menurut Bernama selepas prosiding perbicaraan kes saman terhadap Ahmad Dusuki di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Mengenai perbicaraan hari ini, Fahmi berkata beliau selesai memberi keterangan dan beberapa saksi lain akan dikemukakan dalam perbicaraan yang dijangka selesai dalam tempoh dua hari.

Semalam, kes saman difailkan Fahmi terhadap Fauzan yang merupakan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’ serta Wan Azri diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak-pihak mencapai persetujuan untuk penyelesaian.

Namun, tindakan undang-undang terhadap Ahmad Dusuki yang merupakan penceramah bebas diteruskan dengan perbicaraan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai penyelesaian.

Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.

Beliau mendakwa, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Azri, pada 1 Ogos tahun sama.

Fahmi berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas memandangkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan sebarang ucapan berbaur politik di ruang solat masjid berkenaan seperti mana difitnah defendan.

Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.