
Timbalan Ketua Poli Padang Terap Affzanisham Mohammad Sham berkata dalam kejadian 6.45 pagi itu, Che Ramlah Abdul Karim, 76, dan cucu saudaranya, Auni Afiqah Hadi meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Abang kanak-kanak itu, Abdul Hafiz Hadi yang berusia sembilan tahun dan merupakan murid SK Padang Terap pula cedera di dagu dan gigi.
“Polis menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dengan sebuah motosikal.
“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa pemandu kenderaan MPV itu dalam perjalanan dari arah Kampung Lubuk Labi menghala ke Ladang Seraya, Padang Sanai.
“Setibanya di lokasi kejadian, motosikal berkenaan yang datang dari arah bertentangan dipercayai hendak memotong kereta lain yang berada di hadapan sebelum memasuki laluan bertentangan dan menyebabkan mereka bertembung dengan MPV itu,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pembonceng belakang motosikal yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.
“Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, di sini untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.