PM zahir penghargaan Iran benar kapal Malaysia lalu Selat Hormuz

PM zahir penghargaan Iran benar kapal Malaysia lalu Selat Hormuz

Penghargaan dizahirkan Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi di sela Dialog Kuala Lumpur-Ankara hari ini.

Strait of Hormuz
Media melaporkan enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenarkan melalui perairan itu secara berperingkat. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Malaysia menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Iran yang membenarkan kapal minyak negara melalui Selat Hormuz.

Penghargaan itu dizahirkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Duta Besar Iran ke Malaysia Valiollah Mohammadi di sela-sela Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026, hari ini.

“Langkah ini amat penting dalam memastikan kelangsungan bekalan tenaga sekali gus membantu mengekang tekanan terhadap kos sara hidup rakyat dan menyokong kestabilan ekonomi negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Media melaporkan enam lagi kapal Malaysia yang masih terkandas di Selat Hormuz ketika ini akan dibenarkan melalui perairan itu secara berperingkat.

Sebelum ini, Kementerian Luar mengesahkan sebuah daripada tujuh kapal milik Malaysia yang sebelum ini terkandas di Selat Hormuz susulan perkembangan situasi serantau diberikan laluan selamat dan kini meneruskan pelayaran ke destinasi akhir.

Perkara itu susulan penglibatan diplomatik peringkat tinggi antara Anwar dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian pada 26 Mac lalu, yang membolehkan Malaysia memperoleh kebenaran bagi tujuh kapal negara ini menyambung semula perjalanan.

Perjalanan di Selat Hormuz, sebuah laluan sempit strategik yang menyaksikan 20% daripada minyak mentah dan gas dunia melaluinya, terjejas berikutan serangan berterusan Amerika Syarikat dan Israel ke atas wilayah serta kemudahan Iran sejak 28 Feb lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.