
Sunway menegaskan semula bahawa 99.27% pemegang sahamnya mengundi menyokong pengambilalihan itu, mencerminkan keyakinan kukuh terhadap rasional strategik dan komersial tawaran tersebut.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata cadangannya berpandukan prinsip jelas, iaitu untuk mewujudkan nilai strategik jangka panjang yang mampan kepada pihak berkepentingan Sunway.
“Ia dirangka bagi membolehkan pemegang saham mengambil bahagian dalam pertumbuhan masa depan sebuah ‘entiti nasional’ yang lebih besar dan berdaya tahan, berteraskan asas kukuh serta rekod prestasi terbukti.
“Kami menghormati keputusan pemegang saham IJM dan hasil proses ini. Dalam transaksi sebesar ini, perbezaan pandangan adalah perkara biasa dan kami mengiktiraf perbincangan awam yang meluas yang mengiringi tawaran ini.
“Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak berkepentingan, rakan kongsi, rakan-rakan, serta kira-kira 33% pemegang saham IJM yang menerima tawaran kami. Kami berterima kasih atas keyakinan dan sokongan mereka terhadap visi serta cadangan Sunway,” katanya.
Sunway menambah bahawa tahap minat dan perbincangan awam terhadap tawaran pengambilalihan itu memberi ruang kepada syarikat untuk menjelaskan pendiriannya dengan jelas, di samping mencerminkan kekuatan pasaran modal Malaysia.
Bergerak ke hadapan, syarikat itu berkata fokusnya kekal pada pelaksanaan strategi perniagaan serta menyampaikan nilai merentasi perniagaan bersepadu.
“Kami akan terus memperkukuh kelebihan kami, merebut peluang secara berdisiplin, dan kekal komited untuk mencipta nilai jangka panjang kepada pihak berkepentingan, komuniti yang kami khidmati serta negara secara keseluruhan.”
Pada 12 Jan, Sunway membuat tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat (VTO) bagi semua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham, dengan hari ini sebagai tarikh akhir penerimaan.
Tawaran itu luput pada 5 petang semalam selepas Sunway gagal memperoleh lebih daripada 50% saham undian
IJM pada asasnya dimiliki oleh pelbagai dana institusi, dengan KWSP sebagai pemegang saham terbesar, memiliki pegangan sebanyak 16.8%. Ia sebelum ini menggesa pemegang saham menolak tawaran tersebut, dengan menyifatkannya sebagai tidak adil dan tidak munasabah.
Bulan lalu, Permodalan Nasional Bhd, pemegang saham kedua terbesar IJM, memutuskan untuk tidak menerima tawaran Sunway bagi pegangan 13.5% dalam konglomerat itu.