Zahid gesa taman perindustrian halal diperluaskan di semua negeri

Zahid gesa taman perindustrian halal diperluaskan di semua negeri

TPM kata tidak semua negeri mewujudkan lot industri halal 100% walaupun masing-masing ada majlis industri halal.

ahmad zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi di majlis pecah tanah Perda Halal Park Fasa II di Kubang Menerong. (Gambar Bernama)
TASEK GELUGOR:
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi menggesa semua negeri mewujudkan taman perindustrian halal bagi merancakkan sektor tersebut.

Zahid menerangkan tidak semua negeri mewujudkan lot industri halal 100% walaupun masing-masing telah mewujudkan Majlis Pembangunan Industri Halal.

Beliau berkata negeri-negeri yang telah mempunyai industri halal seperti Pulau Pinang harus menjadi penanda aras, lalu menyeru negeri lain membangunkan industri halal yang lebih besar dan berimpak tinggi.

“Malah negeri-negeri yang diperintah oleh parti yang berasaskan pada Islam pun tidak ada industri halal. Saya harap mereka tidak bercakap sahaja, mereka laksanakan. Kalau benar-benar mereka memperjuangkan Islam, kita mahu lihat taman perindustrian halal diwujudkan oleh negeri-negeri berkenaan,” katanya dalam ucapan pada suatu majlis di Perda Halal Park Fasa II di Kubang Menerong.

Negeri lain yang mempunyai taman industri yang memiliki akreditasi Halal Malaysia ialah Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Perak, Johor, dan Pahang.

Zahid yang juga pengerusi Majlis Halal Negara menaruh harapan agar sektor halal menyumbang 15% kepada KDNK menjelang 2030.

Beliau menekan potensi eksport, menyatakan sektor makanan dan minuman halal kini menjana lebih RM34 bilion, namun hanya menyumbang 2% daripada keseluruhan eksport halal.

“Kita berharap pemain industri di Perda Halal Park ini tidak hanya menumpukan pada produk makanan dan minuman semata-mata.

“Kita perlu keluar daripada kepompong ini. Saya yakin terdapat banyak lagi produk lain yang boleh kita pasarkan di peringkat domestik dan antarabangsa,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.