Kerajaan pertimbang guna MyKad untuk subsidi diesel susulan kejayaan BUDI95

Kerajaan pertimbang guna MyKad untuk subsidi diesel susulan kejayaan BUDI95

Amir Hamzah Azizan berkata peralihan ke kaedah ini memerlukan kajian terperinci bagi mengelakkan gangguan serta isu logistik.

Amir Hamzah Azizan berkata penggunaan MyKad dalam skim BUDI95 berjaya mengurangkan ketirisan dan menjimatkan kos tanpa mengubah tabiat pembelian rakyat secara ketara.
PETALING JAYA:
Kerajaan sedang menilai kemungkinan untuk memperluaskan penggunaan MyKad dalam pemberian subsidi diesel bersasar, susulan kejayaan pelaksanaan skim Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata penggunaan MyKad terbukti berkesan dalam mengurangkan ketirisan serta menjimatkan perbelanjaan, tanpa menjejaskan corak pembelian rakyat secara besar-besaran, lapor Berita Harian.

Beliau turut menjelaskan kejayaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di kawasan bandar dan luar bandar menunjukkan bahawa kaedah pengagihan diesel berasaskan MyKad berpotensi untuk dilaksanakan.

Namun begitu, Amir menegaskan pelaksanaan pendekatan itu memerlukan penelitian rapi, memandangkan corak penggunaan diesel berbeza mengikut kawasan.

Di Sabah dan Sarawak khususnya, diesel bukan sahaja digunakan untuk kenderaan tetapi juga bagi penjanaan elektrik.

“Selain itu, terdapat kawasan tidak mempunyai akses kepada stesen minyak biasa dan bergantung kepada kaedah pengagihan alternatif,” katanya.

“Jika kita ingin melaksanakan penggunaan MyKad untuk diesel, kita perlu memastikan bekalan tidak terganggu. Kita perlukan masa untuk memastikan tiada perkara yang terlepas pandang sehingga menjadi halangan.

Skim BUDI95 diperkenalkan pada September 2025 bagi memastikan subsidi petrol RON95 hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia yang layak, di samping membendung ketirisan kepada warga asing dan sektor komersial.

Melalui skim ini, warganegara Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli sehingga 300 liter RON95 sebulan pada harga bersubsidi RM1.99 seliter, dengan kelayakan disahkan menggunakan MyKad.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.