
Timbalan Ketua Menteri, Mohamad Abdul Hamid, berlata Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Zhao Zi Long Pulau Pinang akan menganjurkan majlis berkenaan bersama penduduk Bagan Ajam di Dewan Panorama Bagan Ajam, Butterworth, pada 11 April.
“Atas nasihat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, maka Majlis/ Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang menyerahkan semua urusan penyelarasan majlis jamuan perpaduan ini kepada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, di mana sebarang majlis berkaitan aktiviti perpaduan adalah di bawah bidang kuasa jabatan ini,” katanya dalam kenyataan.
Awal hari ini, JHEAIPP melarang Persatuan Thean Hock Keong berpangkalan di Butterworth menganjurkan majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri memandangkan sambutan itu merupakan antara aktiviti keagamaan masyarakat Islam.
Pengarah jabatan berkenaan, Marzuki Hassan, dalam satu surat bertarikh 31 Mac menyatakan kepada persatuan berkenaan bahawa semua aktiviti agama Islam, termasuk sambutan berkaitan Aidilfitri, memerlukan kebenaran daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Persatuan itu telah menjelaskan dalam surat bertarikh 5 April bahawa majlis rumah terbuka tersebut bertujuan untuk ‘memupuk perpaduan, mengeratkan silaturahim, dan memperkukuh keharmonian dalam masyarakat setempat’.