PRN Johor: Umno tak pernah tutup pintu rundingan, kata Asyraf

PRN Johor: Umno tak pernah tutup pintu rundingan, kata Asyraf

Sebelum ini terdapat gesaan Umno tanding solo dalam PRN akan datang berbanding bekerjasama dengan PH, rakan dalam kerajaan perpaduan.

Asyraf Wajdi Dusuki
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata parti itu tidak pernah tutup pintu untuk rundingan. (Gambar Bernama)
KLANG:
Umno terbuka untuk berunding dengan mana-mana parti menjelang PRN Johor akan datang, kata Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki.

“Kami tidak pernah menutup pintu kepada mana-mana parti. Umno sentiasa terbuka untuk berunding dengan semua parti. Tiada isu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Persidangan Pendidikan Antarabangsa Mara.

Sebelum ini, terdapat gesaan supaya Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno bertanding solo pada PRN Johor akan datang, berbanding bekerjasama dengan sekutu kerajaan perpaduan, Pakatan Harapan (PH).

Kerajaan Johor ketika ini yang dipimpin oleh Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, terdiri sepenuhnya daripada Adun BN, manakala wakil PH berada di blok penyokong kerajaan dalam DUN.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim, baru-baru ini menggesa PKR Johor supaya menggunakan saluran yang betul untuk berunding dengan sekutu mereka, khususnya Umno berkait PRN akan datang.

Presiden PKR itu mengakui parti berkenaan agak lemah di Johor dari segi kerusi DUN, namun berkata rundingan juga perlu mengambil kira kekuatan sokongan PKR di peringkat Parlimen.

BN membentuk kerajaan Johor selepas PRN 2022 dengan memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. PH memenangi 12 kerusi, dengan DAP memperoleh 10 kerusi manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

Setiausaha Umno Johor, Abdul Halim Suleiman sebelum ini berkata BN Johor berhasrat mempertahankan semua 40 kerusi yang dimenanginya pada 2022 walaupun bekerjasama dengan PH.

Beliau juga berkata BN bersedia bertanding semua 56 kerusi negeri sekiranya memutuskan untuk bergerak secara solo.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.