
Kembalinya Khairy Jamaluddin ke pangkuan Umno sesuatu yang akan berlaku jua, bahkan tidak diragukan sama sekali. Cuma yang menjadi teka-teki siapa antara Khairy dan Zahid Hamidi akan beralah dalam drama yang bersimpang siur jalan ceritanya.
Inisiatif ‘Rumah Bangsa’ yang dicanangkan Zahid bukan sahaja mematikan langkah PAS, malah menawarkan pengampunan kepada bekas ahli yang pernah berpaling tadah.
Ramai generasi muda sekarang melihat Khairy bak seorang ‘rock star’ dalam dunia politik dan, bagi sesetengah pihak, calon perdana menteri masa depan. Namun harus saya akui diri ini (dan mungkin orang lain juga) mempunyai isu dengan Khairy pada masa lalu. Beliau pernah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menimbulkan rasa jengkel.
Satu sindiran yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim ketika menjadi ketua pembangkang membawa kepada saman; kemudian ada pula ketika beliau menyifatkan Nga Kor Ming sebagai ‘Taliban’ pada 2019 selepas Nga, yang ketika itu merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat, mengulas bahawa Malaysia mungkin menjadi seperti Afghanistan yang diperintah Taliban sekiranya PAS dan Umno berkuasa.
Khairy juga pernah menyamakan peserta perhimpunan Bersih dengan monyet, satu kenyataan yang beliau enggan memohon maaf.
Oleh itu, saya merasa sedikit puas apabila Umno memecat Khairy pada 2023.
Namun, harus diakui Khairy berjaya menjenamakan semula dirinya — pencapaian yang mengejutkan dan membuatkan saya mula menghormatinya, terutama memandangkan hanya bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sahaja yang mampu melakukannya sebelum ini.
Khairy tidak buat kecoh tentang pemecatannya atau memutuskan hubungan dengan Umno, sebaliknya beliau menjaga adab lalu menanggalkan pakaian ‘samseng nasionalis’ yang cenderung disarung sesetengah ketua Pemuda Umno, sambil menampilkan wajah seperti seorang negarawan serta berjiwa progresif.
Saya pada mulanya agak berwaspada melihat Khairy ‘bersalin kulit’, namun lonjakan populariti beliau harus dikagumi (ada suatu ketika saya menaruh harapan Khairy akan menjadi sebahagian ‘kuasa ketiga’ yang sangat diperlukan oleh Malaysia).
Melalui podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Shahril Hamdan, Khairy membawa perbincangan rentas parti kepada khalayak yang lebih luas melalui perbualan bermakna dengan tokoh seperti Saifuddin Nasution Ismail daripada PKR, Loke Siew Fook daripada DAP, Abang Johari Openg daripada Gabungan Parti Sarawak dan Ahmad Samsuri Mokhtar daripada PAS.
Bolehkah Khairy membawa perubahan yang sangat diperlukan oleh Umno? Jika diberi masa, saya percaya beliau mampu.
Saya percaya perubahan akan berlaku di Malaysia walaupun perlahan — hakikat yang nampaknya tidak disedari oleh kebanyakan rakyat malah diragui oleh kebanyakan orang. Lagipun, mengubah Umno atau negara ini tidak semudah melanggan pelan baharu telefon pintar.
Namun, Khairy yang berjenama baharu ini akan memberi saingan sengit kepada ketua Pemuda sekarang, Dr Akmal Saleh, dalam usaha meraih sokongan kepada Umno dan menghidupkan semula populariti parti itu.
Saya berharap agar Khairy memberi kesan pada Umno, dengan harapan agar parti itu mengguna pakai pendekatannya semasa beliau ‘hidup dalam buangan’.
Bayangkan Umno terlibat dalam politik rentas parti dan menggalakkan perbincangan isu secara matang, sekali gus menjadi pengimbang kepada retorik perkauman Akmal yang berapi-api serta ekstremisme PAS.
Ini akan menjadikan Umno sebuah kuasa wasatiyyah di negara yang dibayangi Tunku Abdul Rahman.
Justeru, kita pun kembali kepada satu soalan penting. Adakah Khairy akan mengubah Umno ke arah yang lebih baik atau Umno akan menjerumuskan Khairy menjadi watak yang menjengkelkan?
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.