
Beliau yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata, dakwaan itu timbul susulan hantaran di media sosial menggunakan gambar lamanya bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang didakwa disalah tafsir.
Menurut Suhaili, gambar itu sebenarnya diambil ketika kunjungan hormat beliau kepada Anwar pada 2023 selepas menyatakan sokongan kepada kerajaan perpaduan.
“Dalam pertemuan itu, saya jelaskan kepada perdana menteri keperluan pembangunan di Labuan, khususnya isu bekalan air dan elektrik,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, hasil pertemuan itu kerajaan mengambil langkah menyelesaikan masalah terbabit termasuk peruntukan tambahan RM300 juta bagi masalah air serta pembangunan penjana kuasa baharu berkapasiti 120 megawatt oleh Petronas, Sabah Energy dan pihak berkaitan.
Suhaili menegaskan, dakwaan beliau cuba menghalang siasatan terhadap ASB adalah tidak berasas sama sekali.
“Kalau SPRM mahu menyiasat, tiada siapa boleh menghalang.
“ASB adalah syarikat milik kerajaan Sabah,” katanya yang turut menafikan tuduhan kononnya berlaku penjualan aset atau salah guna kuasa dalam ASB.
Beliau menegaskan, semua keputusan dibuat mengikut prosedur dan tertakluk kepada kelulusan Sabah Energy serta kerajaan negeri.
“ASB tidak mengalami kerugian dan tiada keputusan dibuat sewenang-wenangnya oleh lembaga pengarah,” katanya.
Suhaili turut menjelaskan sebagai pengerusi, beliau tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam operasi harian syarikat.
“Pengurusan harian dikendalikan ketua pegawai eksekutif dan peranan saya hanya dalam mesyuarat lembaga pengarah yang diadakan secara berkala,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata akan membuat laporan polis terhadap pihak yang menyebarkan fitnah tersebut dan tidak menolak mengambil tindakan undang-undang.
“Saya juga akan meminta peguam mengambil tindakan saman terhadap pihak terlibat supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.