Apad siasat insiden tren LRT tergelincir landasan

Apad siasat insiden tren LRT tergelincir landasan

Ia berkata siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard.

25 penumpang dipindahkan gangguan tren Chan Sow Lin
Semalam dilaporkan, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah trennya tergelincir akibat gangguan teknikal pada landasan di Stesen Chan Sow Lin. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah membuka kertas siasatan serta-merta bagi menyiasat insiden tren Transit Aliran Ringan (LRT) tergelincir landasan yang dalam kejadian berhampiran Stesen Chan Sow Lin pagi semalam.

Dalam kenyataan, ia berkata siasatan sedang dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk meneliti aspek pematuhan prosedur operasi standard, penyelenggaraan aset, sistem keselamatan serta pengoperasian tren.

Menurutnya, pihak pengendali juga telah diarahkan mengemukakan laporan lengkap berhubung insiden tersebut secepat mungkin dan ia akan diteliti secara terperinci sebelum proses temu siasat dan penelitian lanjut dilaksanakan.

“Ia bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta menentukan sama ada wujud sebarang unsur ketidakpatuhan, kecuaian atau pelanggaran syarat lesen pengendalian.

“Sekiranya didapati berlaku pelanggaran syarat lesen oleh pihak pengendali, tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Seksyen 101 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

“Selain itu, siasatan juga turut merangkumi aspek kecuaian di bawah Seksyen 202 dan Seksyen 128 Akta 715, termasuk terhadap mana-mana individu yang didapati gagal melaksanakan tanggungjawab atau cuai semasa menjalankan tugas sehingga menjejaskan keselamatan operasi rel,” katanya.

Semalam dilaporkan, perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling mengalami kelewatan selepas sebuah trennya tergelincir akibat gangguan teknikal pada landasan di Stesen Chan Sow Lin.

Rapid Rail berkata, tren yang tergelincir ketika melalui kawasan suis landasan itu membawa 25 penumpang, dengan semuanya selamat dipindahkan dan tiada kecederaan dilaporkan.

Susulan kejadian itu, Apad berkata pihaknya telah melaksanakan pemeriksaan tapak bagi menilai keadaan awal insiden serta memastikan tindakan segera diambil oleh pengendali.

” Pemeriksaan tapak pertama telah diketuai oleh ketua pengarah Apad bersama wakil Bahagian Penguatkuasaan Rel serta Bahagian Perancangan Rel.

“Pemeriksaan kedua dilakukan pada 3 petang melibatkan wakil Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi meneliti perkembangan awal siasatan, tahap keselamatan operasi serta langkah-langkah susulan perlu dilaksanakan.

“Apad menegaskan bahawa keselamatan pengguna, kebolehpercayaan sistem rel serta integriti perkhidmatan pengangkutan awam tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan. Kita akan pastikan siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.