Unjuran KDNK Bank Negara terlalu optimistik, kata ahli ekonomi

Unjuran KDNK Bank Negara terlalu optimistik, kata ahli ekonomi

Namun, seorang lagi ahli ekonomi percaya unjuran tersebut realistik dan boleh dicapai, tetapi meragui unjuran bank pusat terhadap inflasi.

Alvin Desfiandi Ahamed Kameel Mydin Meera
Alvin Desfiandi (kiri) dan Ahamed Kameel Mydin Meera mempunyai pandangan yang berbeza mengenai unjuran pertumbuhan Bank Negara serta kadar inflasi.
PETALING JAYA:
Dua ahli ekonomi berbeza pandangan mengenai unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi 2026 apabila bank pusat itu meramalkan pertumbuhan antara 4% hingga 5% biarpun terdapat kesan susulan perang di Iran.

Alvin Desfiandi, ketua ahli ekonomi di Center for Market Education, berkata unjuran bank pusat itu mungkin ‘terlalu optimistik’, terutamanya sasaran tertinggi 5% pertumbuhan KDNK. Manakala Ahamed Kameel Mydin Meera dari Universiti Sultan Azlan Shah pula percaya sasaran tersebut realistik dan boleh dicapai.

Desfiandi berkata semakan pertumbuhan KDNK oleh BNM mungkin dibuat terlalu awal, memandangkan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyatakan konflik di Timur Tengah telah mengganggu 30% bekalan minyak dunia dan 20% gas asli cecair (LNG).

“Saya percaya ini sudah cukup untuk memberi kejutan besar kepada ekonomi dengan menjejaskan permintaan luaran, kos pengangkutan dan keyakinan pasaran. Saya rasa julat bawah unjuran BNM lebih munasabah, manakala 5% agak terlalu optimistik,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa kesilapan ramalan boleh menjejaskan kredibiliti bank pusat.

Desfiandi berkata unjuran BNM bagi sektor elektrik dan elektronik adalah realistik, namun kelembapan ekonomi global merupakan risiko besar akibat perang di Iran.

Walaupun campur tangan kerajaan dalam bahan api dapat melindungi perbelanjaan domestik, beliau berkata ia hanya bertindak sebagai penstabil dan bukannya pemangkin ekonomi, dengan kesan terhad terhadap penggunaan dalam negara.

“Secara keseluruhan, Malaysia mungkin masih berkembang dengan kukuh pada 2026, tetapi tidak hampir kepada 5% jika konflik berterusan.”

Sebaliknya, Kameel menjangkakan pertumbuhan KDNK akan disokong oleh kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih LNG yang besar, yang membolehkan negara mempunyai lebihan dalam sektor minyak dan gas.

“Jadi Malaysia dijangka mendapat manfaat dalam aspek ini disebabkan ketidaktentuan tenaga global semasa,” katanya.

Ahli ekonomi itu juga berkata harga minyak sawit dijangka meningkat kerana komoditi tersebut digunakan secara meluas dalam industri hiliran dan juga boleh digunakan dalam bio-tenaga ketika krisis tenaga global. “Jadi kita juga akan mendapat keuntungan melalui minyak sawit.”

Terdahulu, Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour berkata pengembangan pelaburan, perbelanjaan domestik yang kukuh, kekuatan sektor pelancongan dan permintaan eksport yang tinggi dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan tahun ini.

Rasheed berkata unjuran bank pusat itu mengambil kira pelbagai senario perang Iran, manakala daya tahan domestik negara dan struktur eksport yang pelbagai memberikan asas kukuh untuk menghadapi cabaran luaran.

Peningkatan inflasi

Kameel berkata beliau menjangkakan kadar inflasi akan jauh lebih tinggi daripada unjuran BNM iaitu antara 1.5% hingga 2.5% tahun ini.

Beliau berkata orang ramai perlu menjangkakan inflasi dan kos sara hidup meningkat akibat perang, kerana hampir 50% bekalan minyak mentah negara melalui Selat Hormuz.

Tambahnya, sekitar 30% hingga 40% import baja Malaysia juga melalui selat tersebut, yang bermaksud harga hasil segar boleh melonjak.

“Minyak, sebagai input bagi hampir semua proses pengeluaran dan pengedaran, pasti memberi tekanan inflasi kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan termasuk pertanian. Jadi harga bahan api dan makanan pasti meningkat dan saya jangka ia melebihi 2.5%, menyebabkan rakyat lebih terbeban,” kata Kameel.

Namun, Desfiandi berkata unjuran inflasi BNM lebih munasabah disebabkan penampan Malaysia, iaitu kedudukan sebagai pengeksport tenaga bersih, kekuatan ringgit, serta campur tangan kerajaan seperti subsidi bahan api dan bantuan tunai.

Namun begitu, beliau berkata sudah terdapat laporan negara-negara Asia menghadapi kekurangan atau kenaikan harga bahan pembungkusan seperti botol, tin dan kotak, yang akan menjejaskan produk berbungkus seperti susu.

Dalam kes ini, beliau menjelaskan tekanan kos bukan datang daripada produk itu sendiri tetapi keseluruhan rantaian bekalan, termasuk pembungkusan.

“BNM telah menandakan sektor makanan dan sektor sensitif import sebagai risiko kenaikan inflasi dalam keadaan ini. Jadi saya menjangkakan tekanan yang lebih besar pada peringkat sektor jika konflik berterusan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.