Ahli Parlimen Kampar bidas Akmal, dakwa main retorik populis isu harga minyak

Ahli Parlimen Kampar bidas Akmal, dakwa main retorik populis isu harga minyak

Chong Zhemin dakwa Dr Akmal Saleh gagal fahami struktur asas penetapan harga bahan api di Malaysia.

Chong Zhemin gesa Kementerian Kewangan segera tingkat ketelusan dengan dedah harga pasaran sebenar diesel dan RON97 bagi rakyat memahami beban subsidi sebenar.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin membidas Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh kerana didakwa memainkan retorik populis berhubung isu harga bahan api yang boleh mengelirukan orang awam.

Wakil DAP itu berkata kenyataan Akmal menunjukkan beliau gagal memahami struktur asas penetapan harga bahan api di Malaysia yang ditentukan berdasarkan purata harga minggu sebelumnya dan bukannya harga semasa harian.

“Sebagai seorang Exco negeri yang sebelum ini mengumumkan peletakan jawatan tetapi gagal berbuat demikian, beliau sepatutnya bertanggungjawab membantu kerajaan menjelaskan realiti kepada rakyat, bukannya memainkan retorik populis,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Akmal membangkitkan persoalan mengenai keberkesanan formula sedia ada dengan merujuk kepada langkah kerajaan Thailand baru-baru ini.

Menurutnya, Thailand telah menyemak semula formula harga minyak mereka yang membolehkan penurunan harga di pam berlaku serta-merta apabila harga pasaran dunia merosot.

Namun beliau mendakwa keadaan di Malaysia sebaliknya yang menyaksikan harga diesel naik kepada RM6.72 liter bagi 9 hingga 15 Apr.

Dalam pada itu, Chong menggesa Kementerian Kewangan segera meningkatkan ketelusan dengan mendedahkan harga pasaran sebenar diesel dan RON97 setiap minggu bagi membolehkan rakyat memahami beban subsidi sebenar yang kini dianggarkan melonjak melebihi RM4 bilion sebulan.

Katanya, walaupun harga runcit diesel telah meningkat, kerajaan sebenarnya masih menanggung beban subsidi yang besar jika dibandingkan dengan harga diesel industri.

“Tanpa pendedahan harga pasaran sebenar, rakyat Malaysia tidak dapat memahami sepenuhnya skala subsidi yang ditanggung serta tahap keseriusan cabaran fiskal negara,”katanya

Mengulas lanjut, Chong berkata jumlah subsidi bulanan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion pada Mac lalu, sebelum mencecah RM4 bilion hanya dalam tempoh lima hari seperti yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Berdasarkan peningkatan harga minyak global, jelas angka subsidi semasa kini jauh melebihi RM4 bilion. Jika diunjurkan, jumlah ini mencecah RM48 bilion setahun.

“Bagaimanakah kerajaan akan membiayai beban subsidi yang begitu besar ini? Adakah ini akan menyebabkan defisit fiskal meningkat? Rakyat berhak mendapat jawapan jelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.