
Ketua Ahli Ekonominya bagi Malaysia Apurva Sanghi berkata pelarasan kuota di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95) baru-baru ini disifatkan ‘langkah ke arah yang betul’.
Namun beliau menegaskan subsidi bahan api masih bersifat regresif kerana golongan berpendapatan tinggi menggunakan lebih banyak daripada had bulanan 200 liter.
Menurut laporan The Edge, Apurva berkata pelarasan harga petrol boleh menjadi satu alternatif atau pelengkap kepada dasar sedia ada, terutama ketika konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran masih berlarutan tanpa tanda reda.
“Jika keadaan terus meruncing, perlu ada sedikit pelarasan,” katanya dalam taklimat media berhubung bahagian pertama laporan Malaysia Economic Monitor (MEM) April 2026.
“Berdasarkan sistem sedia ada, pelarasan boleh dibuat dengan mudah sama ada melalui kuota atau harga.”
Beliau turut menyatakan kerajaan setakat ini mengekalkan harga bahan api rendah bagi mengelakkan “kemerosotan permintaan”, berbeza dengan Thailand dan Filipina di mana harga lebih tinggi telah mengekang penggunaan.
“Persoalannya, sampai bila kerajaan boleh terus melindungi permintaan … dan itu masih belum ada jawapan buat masa ini,” katanya.
Walaupun harga minyak mentah kini melebihi USD100 setong, Malaysia masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter.
Namun, keadaan itu menyebabkan kos subsidi meningkat mendadak daripada RM700 juta pada Januari 2026 kepada RM4 bilion pada April.
Bagi mengawal perbelanjaan, kerajaan telah mengurangkan sementara kuota bulanan subsidi di bawah skim BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter.
Dalam pada itu, Apurva berpendapat tiada keperluan mendesak untuk melaksanakan rangsangan fiskal berskala besar termasuk subsidi tambahan kerana ia boleh meningkatkan tekanan inflasi.
Beliau berkata Malaysia kini berada dalam kedudukan ‘cukup baik’ dengan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan inflasi yang masih terkawal.