BDR tak ganggu pergerakan ekonomi negara, kata menteri

BDR tak ganggu pergerakan ekonomi negara, kata menteri

Akmal Nasrullah Nasir berkata dasar kali ini memberi tumpuan kepada kesinambungan produktiviti tanpa menjejaskan operasi ekonomi.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir berkata bekerja dari rumah bukan bermaksud untuk menghalang kegiatan ekonomi tetapi memastikan produktiviti tidak terganggu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) bagi penjawat awam bermula Rabu depan tidak akan mengganggu pergerakan ekonomi negara sebaliknya bertujuan memastikan produktiviti terus terpelihara, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Nasir.

Beliau berkata, berbeza dengan pelaksanaan BDR ketika pandemik Covid-19 sebelum ini yang bertujuan mengawal penularan virus, dasar kali ini memberi tumpuan kepada kesinambungan produktiviti tanpa menjejaskan operasi ekonomi.

“Maka sebab itu bekerja dari rumah bukan bermaksud untuk menghalang kegiatan ekonomi tetapi untuk memastikan produktiviti tidak terganggu dan komitmen mereka (penjawat awam) itu benar-benar melaksanakan tugasan di kediaman atau tempat masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk Mendepani Krisis Tenaga: Menjamin Kestabilan Ekonomi malam ini.

Mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan berlaku pembelian panik, Akmal berkata kerajaan mengambil langkah awal dengan meneliti isu bekalan sejak pengaktifan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada awal Mac lepas.

Beliau berkata, antara aspek yang diberi perhatian ialah jaminan bekalan makanan seperti barang keperluan asas.

“Sebab itu, pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah memberi jaminan stok barang-barang keperluan asas insya-Allah mencukupi untuk tempoh yang munasabah.

“Contohnya, untuk bekalan beras kita jangkakan boleh bertahan sehingga sembilan bulan manakala dari segi bahan-bahan yang lain, sudah pasti ia bergantung kepada soal pengeluaran,” katanya.

Mengulas lanjut, Akmal berkata bekalan bahan segar seperti sayur-sayuran memerlukan pengeluaran berterusan manakala bekalan protein seperti ayam dan telur turut dipantau bersama bekalan makanan ternakan.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai tidak melakukan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan bekalan sedia ada.

“…dari awal lagi kita bertindak lebih proaktif untuk menjamin bekalan ini mencukupi…tetapi kaveatnya ialah kita perlu sama-sama memberi keyakinan untuk tidak mewujudkan sebarang penyorokan atau pembelian panik yang akan menyebabkan berlaku renjatan kepada stok yang sedia ada,” katanya.

Terdahulu dalam program Ruang Bicara, Akmal berkata cabaran dalam memastikan mesej ekonomi difahami dan diterima rakyat menuntut pendekatan komunikasi lebih jelas, konsisten dan mudah difahami dalam keadaan semasa yang mencabar.

Beliau berkata, usaha komunikasi termasuk penggunaan video pendek secara konsisten dilaksanakan bagi menjelaskan isu ekonomi kepada rakyat meskipun berdepan cabaran mengimbangi antara kandungan berunsur maklumat dan tarikan umum.

“…untuk membolehkan perkara ini difahami, ia perlu dikupas satu per satu dan mungkin mengambil masa… saya punya jangkaan, saya perlukan masa dua bulan untuk turun ke lapangan, terangkan, bagi keyakinan dan sebagainya sehinggalah keputusan itu boleh diambil dengan sokongan yang munasabah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.