
Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Hakemal Hawari, berkata serbuan membabitkan 28 kilang di 14 lokasi sekitar Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
Katanya, operasi itu turut merampas 2,000 kg barangan lusuh bernilai RM300,000, 11,000 kg produk akhir bernilai RM1.37 juta dan peralatan lain bernilai RM4.6 juta.
“Pihak berkuasa tempatan turut mengeluarkan 10 kompaun keseluruhan bernilai RM10,000 manakala Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengeluarkan 11 kompaun bernilai RM22,000,” katanya pada sidang media di Markas Briged Tengah PGA Cheras hari ini, menurut Harian Metro.
Hakemal berkata dalam operasi itu, seramai 115 individu diperiksa dan 56 warga asing ditahan membabitkan 20 warga Bangladesh, Myanmar (31), serta China (5) berusia lingkungan 30 hingga 50.
Katanya, pihaknya sedang mengesan pemilik premis terbabit bagi membantu siasatan manakala individu ditahan berperanan sebagai pekerja di kilang terbabit rata-rata membabitkan kesalahan imigresen.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian 2021, Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
“Kilang terbabit beroperasi antara dua hingga tiga tahun malah ada yang mempunyai lesen operasi namun kebanyakannya beroperasi secara haram.
“Kami percaya semua sisa e-waste ini dibawa masuk dari luar negara sebelum diproses di kilang-kilang terbabit,” katanya.
Tambahnya, setakat ini, pemilik premis dipercayai terdiri daripada warga tempatan dan warga asing namun tiada pemilik yang ditahan dalam operasi terbabit.