Lelaki ditahan kejar, libas anggota polis dengan pisau

Lelaki ditahan kejar, libas anggota polis dengan pisau

Polis berkata suspek sebelum itu bertindak agresif dengan memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran di Telok Mengkuang.

Lelaki ditahan kejar, libas anggota polis dengan pisau screengrab fb 9426
Tangkap layar video tular menunjukkan suspek yang bersenjatakan pisau pemotong daging mengejar seorang anggota polis dalam satu kejadian di sebuah restoran di Telok Mengkuang, Selasa lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis menahan seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging yang mengamuk sebelum mengejar anggota polis dalam satu kejadian di sebuah restoran di Telok Mengkuang, Selasa lalu.

Ketua Polis Kuala Langat Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan pada 3.30 petang mengenai seorang lelaki bertindak agresif di sebuah restoran makanan laut sebelum sepasukan polis digerak bagi jalan pemeriksaan lanjut.

“Sebaik tiba di lokasi, polis mendapati seorang lelaki tempatan bertindak agresif dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging dan sebatang rotan.

“Siasatan awal mendapati suspek memecahkan pelbagai barangan di sebuah restoran makanan laut di Jalan Pandan 2, Telok Mengkuang,” katanya dalam kenyataan, lapor Sinar Harian.

Katanya, suspek turut merosakkan tiga kenderaan milik orang awam yang berada di sekitar kawasan berkenaan.

“Suspek juga bertindak lebih ganas apabila melibaskan senjata ke arah anggota polis serta kenderaan MPV sehingga mengancam keselamatan pihak berkuasa dan orang awam.

“Hasil tindakan pantas dan cekap anggota di lokasi, suspek berjaya ditahan,” katanya

Menurutnya, suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 353, Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya.

Terdahulu, tular video di media sosial memapaarkan seorang lelaki bersenjatakan pisau pemotong daging mengejar seorang anggota polis di sebuah restoran sebelum suspek berjaya ditangkap.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.