
Ketua Penerangan Umno Kedah, Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata setiap mesyuarat peringkat cawangan di seluruh negeri wajar mengangkat usul tersebut sebagai langkah memperkasakan semula jentera dan struktur parti.

“Sudah sampai masanya Umno kembali berdiri dengan kekuatan sendiri. Kita tidak boleh terus dilihat bergantung atau sekadar melengkapkan pihak lain.
“Kekuatan parti mesti datang daripada keyakinan terhadap diri sendiri,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Shaiful, Umno mempunyai jentera dan pengalaman mencukupi untuk bergerak sendiri, namun memerlukan kesatuan dan ketegasan dalam membuat keputusan politik yang besar.
Tegas beliau, sebarang bentuk kerjasama pada masa depan perlu dibina atas dasar saling menghormati dan bukannya bersifat kebergantungan yang menjejaskan imej parti di mata akar umbi.
“Suara akar umbi sangat penting. Jika di peringkat cawangan kita jelas dan konsisten, itu akan menjadi asas kepada hala tuju parti di peringkat lebih tinggi. Ini bukan soal emosi, tetapi soal kejelasan pendirian,” katanya.
Gesaan itu hadir ketika mesyuarat Umno cawangan dijadual bermula 1 April lalu hingga 17 Mei ini.
Ia akan disusuli dengan mesyuarat perwakilan Umno bahagian dari 1 Jun hingga 12 Julai, sebelum kemuncak Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada 12 Ogos hingga 16 Ogos.
Cadangan untuk bertanding solo dilihat sebagai respons kepada prestasi hambar gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Kedah pada PRN 2023 lalu, apabila hanya memenangi tiga kerusi di Kedah – dua menerusi PKR (Bakar Arang dan Sidam) dan satu menerusi DAP (Kota Darul Aman).
Sebaliknya, Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS mendominasi dengan kemenangan besar 33 kerusi, sekali gus menyaksikan Sanusi Nor kekal menerajui pentadbiran negeri sebagai menteri besar untuk penggal kedua.