
SKMM berkata, dakwaan ia menyekat laporan Malaysia Gazette berkaitan kes mahkamah melibatkan pempengaruh media sosial itu dan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil adalah ‘tidak benar dan palsu’.
“SKMM tidak terlibat dalam kes itu dan tidak mengeluarkan sebarang permohonan atau permintaan untuk menyekat kandungan itu kepada mana-mana media mahupun platform.
“Sehubungan itu, SKMM akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar terhadap Wan Azri berhubung dakwaan palsu itu,” katanya dalam kenyataan.
Agensi itu turut menegaskan ia memandang serius sebarang penyalahgunaan media sosial dan media digital yang bertujuan mengelirukan orang ramai menerusi penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu didapati melanggar undang-undang sedia ada,” katanya.
Kes saman membabitkan Fahmi dan Wan Azri diselesaikan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak-pihak mencapai persetujuan untuk penyelesaian.
Berdasarkan writ saman dan pernyataan tuntutan difailkan pada 5 Sept 2023, Fahmi mendakwa Wan Azri serta dua lagi defenden menyiarkan kata-kata fitnah mendakwanya menyalahgunakan masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah Sultan Selangor.
Dua lagi defenden adalah pemilik Facebook ‘N13 Kuang’ Mohd Fauzan Madzlan dan penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani.
Fahmi turut mencapai penyelesaian dengan Fauzan manakala saman dengan Dusuki diteruskan.
Fahmi mendakwa, kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Dusuki pada 31 Julai 2023, manakala di akaun TikTok dan Facebook Wan Azri, pada 1 Ogos tahun sama.
Fahmi berkata, kenyataan fitnah itu tidak berasas memandangkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) telah mengesahkan beliau sama sekali tidak memberikan sebarang ucapan berbaur politik di ruang solat masjid berkenaan seperti mana difitnah defendan.
Bagaimanapun, pasukan peguam kepada Fahmi sedang meneliti komen dibuat Wan Azri di media sosial berhubung kes saman antara mereka yang diselesaikan itu.
Fahmi dipetik berkata, beliau menerima maklum balas daripada pelbagai pihak mengenai kenyataan terbaru Wan Azri itu dan akan mendapatkan nasihat peguam bagi mengenal pasti sama ada berlaku pelanggaran terhadap terma penyelesaian yang dicapai di mahkamah atau sebaliknya.