Utamakan ubat penting dalam stok penimbal, gesa MMA

Utamakan ubat penting dalam stok penimbal, gesa MMA

MMA sokong langkah kerajaan jamin bekalan ubat, namun saran langkah tambahan mantapkan kesiapsiagaan.

pharmacy pharmacist
MMA gesa kerajaan agar utamakan ubat-ubatan penting dalam stok penimbal serta perkukuh pengeluaran tempatan. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadangkan agar kerajaan mengutamakan ubat-ubatan dari Senarai Ubat-ubatan Penting Kebangsaan dalam usaha mewujudkan stok penimbal strategik.

Presiden MMA Dr R Thirunavukarasu berkata, keutamaan wajar diberikan kepada ubat-ubatan bagi penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan masalah jantung.

Dalam kenyataan hari ini, beliau turut menggesa agar maklumat bekalan dikongsi secara lebih telus dan proaktif dengan klinik dan hospital swasta bagi memastikan kesinambungan penjagaan pesakit.

Thirunavukarasu Rajoo
Dr R Thirunavukarasu.

Selain itu, Thirunavukarasu menyarankan agar Malaysia mempercepatkan pembangunan kapasiti pengeluaran ubat-ubatan tempatan secara berstruktur dan berterusan sebagai langkah jangka panjang ke arah kedaulatan kesihatan negara.

Cadangan tersebut digariskan dalam satu kenyataan yang menzahirkan sokongan MMA terhadap langkah-langkah yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini di tengah-tengah krisis tenaga global yang dikaitkan dengan konflik Timur Tengah.

Langkah lain yang diambil termasuk laluan khas untuk memastikan akses berterusan kepada ubat-ubatan dan peranti perubatan kritikal, pemantauan stok berpusat, kepelbagaian sumber import dan pengaktifan pelan tindak balas kecemasan.

Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini menyatakan bahawa bekalan ubat-ubatan kekal stabil, dengan fasiliti kerajaan mengekalkan stok untuk satu hingga tiga bulan, disokong oleh rizab penimbal yang dipegang oleh syarikat konsesi swasta yang membekalkan ubat melalui perjanjian logistik.

Thirunavukarasu berkata, walaupun bekalan ubat stabil, keadaan global masih tidak menentu.

“MMA akan terus bekerjasama dengan KKM, Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), dan semua pihak berkepentingan bagi memastikan rakyat Malaysia terus mendapat akses tanpa gangguan kepada rawatan dan ubat-ubatan yang diperlukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.