
Mereka yang berada pada ranking nombor dua dunia melakukan kebangkitan dramatik pada set kedua selepas tewas set pertama dengan menyelamatkan tiga mata akhir, namun pasangan muda Korea Selatan akhirnya menang dalam saingan sengit selama 83 minit.
Juara bertahan itu akhirnya tumpas 19-21, 28-26, 13-21 kepada Kang Min Hyuk-Ki Dong Ju, yang berada 20 tangga di bawah.
Terdahulu, pasangan beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M Thinaah dan juara beregu campuran dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tewas dalam aksi suku akhir mereka secara ‘straight set’.
Kemarau kejuaraan bagi pemenang pingat gangsa Olimpik dua kali, Aaron-Wooi Yik berterusan selepas beraksi dalam enam kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) setakat tahun ini. Pencapaian terbaik mereka adalah muncul naib juara pada Kejohanan All England dan Terbuka Malaysia.
Secara keseluruhannya, ia merupakan satu kehampaan buat Malaysia di pertandingan berprestij seperti BAC, dengan semua wakil lain tersingkir pada pusingan pertama atau kedua.
Prestasi mereka juga menjejaskan peluang Malaysia dalam saingan Piala Thomas dan Piala Uber, yang bakal berlangsung di Horsens, Denmark, dari 24 April hingga 3 Mei ini.