
Apad dalam kenyataan, memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Penggantungan dan Pembatalan Lesen (JPPL) APAD Bilangan 3 Tahun 2026 bersidang semalam, memutuskan syarikat MFG Barokah Enterprise LA gagal memenuhi syarat lesen mengikut Seksyen 57(1)(b)(viii), Seksyen 58(1)(b), dan Seksyen 58(1)(c) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 [Akta 715].
Menurutnya, hasil siasatan mendapati syarikat gagal mematuhi Perkara 30 Keperluan Tahap Perkhidmatan termasuk dalam mematuhi Kod Amalan Keselamatan Industri (Icop), selain gagal memastikan kenderaan diselenggara baik.
Selain itu, syarikat juga gagal mengawal dan menjaga kelakuan pemandu yang turut gagal mengutamakan keselamatan pengguna jalan raya lain dan mempunyai rekod pemanduan melebihi had laju dibenarkan.
“Sehubungan dengan itu, selaras dengan kuasa yang diperuntukkan di bawah Seksyen 62 Akta 715, APAD memutuskan untuk membatalkan Lesen Pengendali 202303040540 (syarikat berkenaan) berkuat kuasa hari ini,” menurut kenyataan itu.
Apad menjelaskan, dengan pembatalan tersebut, syarikat berkenaan tidak lagi dibenar mengendali atau menawarkan sebarang perkhidmatan menggunakan mana-mana kenderaan yang dilesenkan di bawah lesen pengendali itu.
Semua pengendali berlesen wajib mematuhi syarat-syarat lesen ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelak kejadian tidak diingini sehingga boleh menyebabkan lesen dibatalkan, menurut agensi itu.
Dalam kejadian itu, tiga individu termasuk suami isteri maut, manakala dua lagi cedera selepas sebuah treler melanggar bahagian belakang van dinaiki mangsa.
Pada Selasa lalu, pemandu treler yang terlibat nahas turut didakwa di Mahkamah Majistret Segamat.