Nafas beri jaminan kesan kenaikan harga baja akan diminimumkan

Nafas beri jaminan kesan kenaikan harga baja akan diminimumkan

Pengurus Besar Muhammad Faris Arriffin berkata, bekalan baja kepada pesawah di seluruh negara juga mencukupi.

baja fertilizer
Nafas mengoptimumkan proses pembuatan dan pengedaran baja untuk kurangkan kesan kenaikan harga susulan ketidaktentuan pasaran global. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memberi jaminan kesan kenaikan harga baja akan diminimumkan, walaupun harga baja urea meningkat lebih 40% susulan ketidaktentuan pasaran global.

Pengurus besarnya, Muhammad Faris Arriffin berkata, Nafas juga akan memastikan bekalan baja kepada pesawah di seluruh negara kekal stabil, mencukupi dan disalurkan mengikut jadual.

Beliau berkata, kenaikan harga baja ketika ini didorong konflik di Asia Barat yang menjejaskan rantaian bekalan global, termasuk gangguan di laluan strategik Selat Hormuz.

Katanya, keadaan itu turut memberi kesan kepada logistik, insurans perkapalan dan kos tenaga, sekali gus mendorong kenaikan harga baja di pasaran antarabangsa.

“Seiring perkembangan ini, harga urea sebagai sumber nitrogen (N) mencatatkan peningkatan melebihi 40% sejak konflik memuncak.

“Bagaimanapun, harga komponen lain seperti fosfat (P) dan kalium (K) masih berada pada tahap lebih terkawal,” katanya kepada FMT.

Agensi Berita Jerman (dpa) pada 28 Mac lepas melaporkan pakar Jerman berkata, perang di Iran telah menyebabkan kos baja mineral meningkat antara 30 hingga 40% sejak awal tahun ini, sekali gus mengancam harga makanan antarabangsa.

Pada Khamis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, harga baja dijangka meningkat kerana Malaysia masih bergantung tinggi kepada import bahan itu.

Mengulas perkara itu, Faris berkata, beberapa langkah mitigasi telah dilaksanakan secara proaktif bagi menangani cabaran berkenaan, termasuk pemantauan berterusan terhadap pergerakan pasaran global melibatkan harga baja, bahan mentah, tenaga dan logistik.

Katanya, Nafas turut memperkukuh perancangan perolehan bahan mentah serta mengoptimumkan proses pembuatan dan pengedaran baja.

Menurutnya, langkah lain termasuk memperluas rundingan strategik menerusi mekanisme kerajaan dengan kerajaan (G2G) bagi mendapatkan harga lebih kompetitif, selain mempelbagaikan sumber bekalan daripada pengeluar utama dunia.

“Nafas akan terus bekerjasama rapat dengan kerajaan dan semua pemegang taruh bagi memastikan bekalan baja negara tidak terjejas,” katanya.

Beliau berkata, keutamaan utama adalah memastikan pesawah menerima bekalan baja mencukupi pada masa yang tepat demi menjamin kesinambungan pengeluaran padi serta keterjaminan makanan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.