
Dalam jawapan bertulisnya, Rafizi menjawab empat tuduhan utama dikemukakan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Zainol Samah yang menyifatkan kenyataan itu sebagai berunsur negatif terhadap parti dan Presiden Anwar Ibrahim.
Ahli Parlimen Pandan itu dituduh menyerang Anwar dengan mendakwa presiden PKR itu cenderung mengharapkan orang bawahannya memuji beliau dan mematuhi arahan tanpa soal.
Rafizi juga didakwa memberi gambaran dalam satu ucapan di perhimpunan bahawa Anwar telah mempertahankan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam isu kontroversi pegangan saham.
Beliau turut dituduh mendakwa Anwar membiarkan penyokongnya menyebarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap dirinya, serta melindungi individu berkepentingan dalam peranannya sebagai perdana menteri.
Zainol dalam surat tunjuk sebab itu menyatakan jika dakwaan terhadap Rafizi terbukti, ia akan dianggap sebagai pelanggaran terhadap kod etika PKR.
Antara pelanggaran disebut termasuk tidak menjaga kerahsiaan maklumat parti, menjejaskan nama baik parti, serta melakukan tindakan yang bertentangan dengan peraturan dan perlembagaan parti.
Dalam maklum balasnya, Rafizi menegaskan kritikan yang dibuat bukan perkara baharu, sebaliknya telah beberapa kali dibangkitkan secara terbuka dalam parti sebelum ini, dan wajar diterima dengan sikap terbuka.
Bekas menteri ekonomi itu juga menggesa lembaga disiplin membuat keputusan yang jelas dan segera berhubung kedudukannya dalam parti.
“Jika penjelasan saya dianggap melanggar perlembagaan parti, maka bertindaklah seperti parti yang normal (bukan bertindak sewenang-wenangnya) dengan mengambil tindakan disiplin, termasuk pemecatan, sebagaimana yang dilakukan dalam kes-kes sebelum ini,” katanya dalam kenyataan empat muka surat yang dimuat naik di media sosial.
Sebelum ini, Rafizi turut menerima surat tunjuk sebab berhubung dakwaan bahawa beliau telah mengisytiharkan hasrat untuk meninggalkan parti.
Ia susulan temu bual dengan Sin Chew Daily, di mana beliau dipetik berkata bahawa beliau mungkin tidak akan bertanding sebagai calon PKR, namun tetap akan bertanding di Pandan, tanpa menjelaskan secara terperinci kaedah penyertaannya.
Menjawab perkara itu, Rafizi berkata beliau bebas merancang langkah politiknya sendiri selepas Parlimen dibubarkan.
Pada masa itu, kepimpinan parti hanya mengingatkan beliau supaya mematuhi perlembagaan dan kod etika parti.