
Bercakap dalam program audio siar Game of Impossible, bekas menteri Idris Jala berkata krisis itu membuka mata Malaysia perlu mengawal sendiri sumber minyak dan gasnya dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada syarikat asing.
Menurutnya, harga minyak melonjak empat kali ganda ketika krisis itu – daripada USD3 kepada USD12 setong – selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mengurangkan pengeluaran susulan peperangan antara Israel dan gabungan negara Arab yang diketuai Mesir dan Syria.
Idris menjelaskan krisis itu menjadi latar penting kepada langkah Razak pada tahun 1974 menggubal Akta Kemajuan Petroleum, yang membawa kepada penubuhan Petronas pada tahun yang sama.
Melalui undang-undang itu, Petronas diberikan hak milik serta kuasa eksklusif ke atas semua sumber petroleum Malaysia, sama ada di darat atau luar pesisir. Ini memberi syarikat itu kawalan penuh terhadap aktiviti penerokaan dan pembangunan sumber berkenaan.
Ketika itu, katanya, aktiviti penerokaan dan pengeluaran minyak di Malaysia sebahagian besarnya dijalankan oleh syarikat minyak antarabangsa seperti Exxon dan Shell.
Disebabkan itulah, Razak membuat kesimpulan Malaysia perlu mempunyai syarikat minyak nasional sendiri untuk memiliki, mengawal dan mengurus sumber petroleum negara.
“Kredit harus diberikan kepada Tun Razak. Beliau melihat krisis pada 1973 itu.
“Tindak balas beliau berasaskan fakta dan pertimbangan yang teliti. Beliau mengambil situasi krisis tersebut dan merangka strategi yang mengubah landskap Malaysia.”
Idris berkata sejak itu, Petronas berkembang menjadi salah satu syarikat minyak nasional paling berjaya di dunia, selain menjadi penyumbang utama kepada hasil kerajaan.
Beliau turut memuji pendekatan Singapura di bawah kepimpinan Lee Kuan Yew, merujuk kejayaan membangunkan negara itu sebagai pusat petrokimia dan hab penapisan minyak walaupun tidak mempunyai sumber minyak dan gas.
Malah ia menjadi antara pusat dagangan minyak dan gas terbesar di ASEAN.
Menurut Idris, pengajaran penting untuk Malaysia hari ini ialah krisis besar boleh dijadikan peluang jangka panjang, asalkan pemimpin berani membuat keputusan tegas dan bertindak dengan segera.