Tiada krisis bekalan minyak dalam masa terdekat, kata Anwar

Tiada krisis bekalan minyak dalam masa terdekat, kata Anwar

Perdana menteri berkata secara keseluruhan bekalan kekal terjamin walapun rakyat bakal berdepan dengan gangguan harga minyak.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim beri pujian pada rekod kukuh Petronas sebagai pengimport minyak serta hubungan baiknya dengan negara pengeluar minyak.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak menjangkakan Malaysia akan menghadapi krisis bekalan minyak dalam beberapa bulan akan datang, walaupun gangguan harga dijangka berlaku.

Anwar yang juga menteri kewangan, berkata perkara itu sebahagiannya disumbangkan oleh rekod kukuh Petronas sebagai pengimport minyak serta hubungan baiknya dengan negara pengeluar minyak.

“Kita juga merupakan negara pengimport bersih minyak kerana produk (petroleum) kita adalah premium, yang harganya sedikit lebih tinggi, tetapi kita masih mengimport (minyak mentah).

“Kita tidak menghadapi krisis dari segi bekalan. Mungkin terdapat beberapa gangguan dari segi harga bahan api tetapi bekalan dijamin untuk beberapa bulan akan datang,” katanya ketika sesi soal jawab pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara di sini.

Perang Iran menyebabkan harga minyak mentah melonjak berikutan penutupan Selat Hormuz.

Bulan lalu, Anwar berkata Malaysia mempunyai bekalan petrol RON95 yang mencukupi untuk mengekalkan harga bersubsidi RM1.99 seliter sekurang-kurangnya sehingga Mei.

Bagaimanapun, Putrajaya menaikkan harga diesel di Semenanjung Malaysia, RON97 dan RON95 tanpa subsidi dengan ketara dalam beberapa minggu sejak konflik itu tercetus.

Anwar berkata anggaran kos subsidi bahan api setakat akhir Mac adalah sekitar RM4 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak mentah.

Kerajaan juga memperkenalkan beberapa langkah penjimatan susulan keadaan ini, termasuk mengarahkan segmen tertentu penjawat awam untuk bekerja dari rumah mulai 15 April serta menggalakkan sektor swasta melakukan perkara yang sama.

Putrajaya juga mengurangkan kuota bulanan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter dan merancang untuk memperkenalkan subsidi diesel bersasar di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Mengenai tekanan global yang lebih luas, perdana menteri berkata Malaysia kekal terdedah kepada perdagangan antarabangsa dan perkembangan geopolitik, walaupun berada dalam kedudukan lebih kukuh berbanding beberapa negara lain.

“Kita berdagang secara meluas dengan Amerika Syarikat… sangat kukuh dengan China, Eropah dan Timur Tengah.

“Kita bernasib baik kerana lebih terlindung berbanding negara Eropah. Namun, apa yang menjejaskan Eropah turut memberi kesan kepada kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.