Kos subsidi melonjak boleh atasi keuntungan minyak Petronas, kata Idris Jala

Kos subsidi melonjak boleh atasi keuntungan minyak Petronas, kata Idris Jala

Bekas menteri itu berkata Malaysia kini berada dalam kedudukan 'rugi bersih', apabila kos subsidi meningkat lebih cepat daripada hasil tambahan diperoleh Petronas.

idris jala
Idris Jala mengingatkan jumlah subsidi tahunan kerajaan boleh mencecah RM70 bilion sekiranya harga minyak naik ke USD120 setong yang mungkin tidak mampu ditampung Petronas untuk jangka panjang.
PETALING JAYA:
Malaysia berisiko mengalami kerugian jika harga minyak dunia terus meningkat kerana keuntungan tambahan diperoleh Petronas tidak mampu menampung kenaikan mendadak kos subsidi bahan api, kata bekas menteri Idris Jala.

Dalam program audio siar ‘Game of Impossible’, Idris menjelaskan kenaikan harga minyak mentah memang akan meningkatkan pendapatan Petronas dan mungkin membolehkan bayaran dividen yang lebih tinggi kepada kerajaan.

Namun, itu hanyalah sebahagian daripada gambaran keseluruhan.

Menurut beliau, masalah sebenar terletak pada dasar kerajaan yang mengekalkan harga petrol rendah melalui subsidi yang akhirnya menghakis manfaat daripada kenaikan harga minyak itu.

“Walaupun pendapatan meningkat, kita membelanjakan terlalu banyak untuk subsidi, jadi kesan akhirnya sebenarnya negatif kepada Malaysia,” katanya.

Semalam, Bank Dunia mencadangkan supaya harga petrol RON95 dinaikkan daripada RM1.99 kepada RM2.05 bagi mengurangkan beban subsidi kerajaan yang semakin meningkat.

Kenyataan itu menyusul ketika perbincangan kemampuan kerajaan mengekalkan harga minyak semasa semakin hangat susulan krisis di Asia Barat.

Ketua ekonominya di Malaysia Apurva Sanghi memberi amaran mengekalkan harga petrol pada paras rendah secara buatan akan menambah tekanan kewangan kerajaan, lebih-lebih lagi apabila harga minyak dunia kekal melebihi USD100 setong.

Beliau turut menjelaskan keseimbangan tenaga Malaysia semakin lemah, dengan pengeluaran minyak menurun kepada sekitar 500,000 hingga 520,000 tong setara minyak sehari, manakala penggunaan meningkat kepada kira-kira 720,000 tong sehari.

Walaupun Malaysia masih mengeksport gas dalam jumlah besar, negara juga perlu mengimport minyak mentah yang kelikatannya lebih berat untuk kegunaan penapisan kerana kebanyakan minyak tempatan adalah jenis ringan dan berkualiti tinggi.

Dalam senario harga minyak USD120 setong, Idris memberi amaran subsidi bahan api bulanan boleh melonjak kepada RM5 bilion hingga RM6 bilion, bersamaan RM60 bilion hingga RM70 bilion setahun.

Sebagai perbandingan, beliau menganggarkan pendapatan tambahan daripada minyak hanya sekitar USD18 bilion hingga USD22 bilion, menunjukkan Petronas tidak mampu menanggung beban itu jika harga petrol terus dikekalkan rendah.

Jika harga mencecah USD150 setong, subsidi tahunan boleh meningkat lagi kepada RM84 bilion hingga RM108 bilion, sedangkan hasil tambahan hanya sekitar USD28 bilion hingga USD35 bilion.

Beliau menegaskan keadaan itu akan mengehadkan kemampuan kerajaan membiayai sektor penting lain seperti pendidikan, pengangkutan awam dan bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.