‘Dangkal, mengelirukan’, Anwar bidas dakwaan ‘ulama’ mengenai isu harga minyak

‘Dangkal, mengelirukan’, Anwar bidas dakwaan ‘ulama’ mengenai isu harga minyak

Perdana menteri berkata pandangan mengatakan kenaikan bahan api hanya berlaku di Malaysia menunjukkan sifat kedangkalan pemimpin politik terbabit.

Anwar Ibrahim berucap PMX
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata pandangan pemimpin politik bergelar ‘ulama’ mengenai isu harga minyak adalah dangkal dan mengelirukan rakyat. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim membidas dakwaan pemimpin politik bergelar ‘ulama’ berhubung isu kenaikan harga bahan api dengan menyifatkan pandangan sedemikian sebagai dangkal dan mengelirukan rakyat.

Tanpa menyebut pemimpin terbabit, beliau berkata pandangan mengatakan kenaikan hanya berlaku di Malaysia dan bukan negara lain, tidak membantu malah menunjukkan sifat kedangkalannya terhadap isu terbabit.

“Ada ulama yang terkenal, mempunyai ramai pengikut, mengatakan tidak betul minyak naik, hanya di Malaysia sahaja naik.

“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara tapi diselubungi oleh fahaman agama dan Al-Quran menyebabkan orang agak percaya tapi dia tidak membantu malah mengelirukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pengangkutan.

Kenyataan itu dilihat sebagai respons kepada kritikan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam yang mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung.

Ahli Parlimen Marang itu mendakwa langkah tersebut tidak mempunyai asas kukuh, selain mempersoalkan kaitan antara kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz.

Beliau turut berhujah Malaysia tidak sepatutnya terkesan secara langsung memandangkan negara mempunyai sumber minyak dan gas sendiri serta jaringan kerjasama dengan negara pengeluar lain.

Dalam pada itu, Anwar turut membidas kenyataan beberapa pemimpin politik yang hanya mengeluarkan kenyataan ‘separuh masak’ berhubung kenaikan harga minyak tetapi fakta itu sebenarnya tidak tepat.

“Ada beberapa komentar orang politik ini dia cepat, tapi apa yang dia sebut ‘half truth turn absolutes’.

“Maksudnya, fahaman itu sedikit kemudian dia nak mutlak pandangan itu sebagai sesuatu yang pasti,” katanya.

Anwar turut menegaskan kerajaan memikul amanah besar dalam mengurus ekonomi negara, termasuk dalam berdepan cabaran global yang memberi kesan kepada harga bahan api.

Beliau menegaskan realiti pasaran global menunjukkan harga bahan api dipengaruhi pelbagai faktor antarabangsa, dan bukan hanya ditentukan oleh kedudukan sesebuah negara sebagai pengeluar sumber.

Jelasnya, kenaikan harga minyak di Malaysia bukan disebabkan kekurangan bekalan bahan api semata-mata, sebaliknya didorong lonjakan pelbagai kos termasuk insurans dan pengangkutan.

“Kalau soal laluan, alhamdulillah hubungan baik kita dengan Iran menyebabkan kapal Petronas sudah melepasi dan dalam beberapa hari lagi akan sampai ke Pengerang.

“Tetapi, ia tidak berakhir di situ. Kos minyak yang lama, yang diambil sebelum perang, tersangkut di Selat Hormuz dan sekarang beralih ke Pengerang, itu kosnya meningkat kerana kos insurans itu sudah melepasi 100%. Kos pengangkutan sendiri juga bertambah,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.