Harga bahan api himpit komuniti Orang Asli

Harga bahan api himpit komuniti Orang Asli

Kos sewa kenderaan yang lebih mahal untuk ke stesen minyak berdekatan memburukkan keadaan.

Orang Asli communities bernama pic 7426
Komuniti Orang Asli di Pantai Timur mahu kuota petrol RON95 dinaikkan dan harga diesel dikurangkan bagi meringankan beban. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komuniti Orang Asli di pedalaman Pantai Timur menyatakan lonjakan harga bahan api menghimpit kehidupan mereka, memandangkan ramai bergantung pada generator untuk bekalan elektrik di rumah.

Mustafa Along dari Gua Musang, Kelantan berkata ketiadaan pengangkutan untuk membeli bahan api memburukkan keadaan.

“Perjalanan ke stesen minyak terdekat boleh memakan masa sehingga dua jam,” kata Mustafa daripada suku kaum Semai.

Aktivis Orang Asli, Tijah Yok Chopil, menambah keluarga-keluarga di sana terpaksa mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa kenderaan pacuan empat roda semata-mata untuk ke stesen minyak tersebut. “Kadar sewa kini lebih tinggi kerana harga diesel lebih mahal.”

Harga runcit diesel di Semenanjung kini mencecah RM6.02 seliter.

Tekanan turut dirasai peniaga kedai di kampung Orang Asli, di mana ada yang terpaksa menghentikan terus jualan bahan api kerana kos perjalanan satu ke dua jam untuk menambah stok terlalu tinggi.

Di Kampung Simoi di Betau, Pahang, seorang penduduk bernama Norfini menyifatkan jarak ke stesen minyak terdekat sebagai rintangan utama.

“Disebabkan kekurangan pengangkutan, seorang penduduk akan ditugaskan untuk membeli petrol bagi pihak orang lain. Namun, terdapat had 10 liter bagi setiap orang. Sepuluh liter ini diperlukan untuk bekalan elektrik rumah dan juga untuk pertanian. Had ini sangat menyukarkan kami,” kata orang suku kaum Semai ini.

Komuniti di Pos Lenjang dan Pos Titom, Pahang menghadapi masalah sama. Seorang penduduk, Gadeen AB, berkata:

“Dengan harga diesel yang meningkat dan kuota bulanan (untuk petrol RON95 bersubsidi) yang dikurangkan, amat sukar bagi kami untuk bertani atau ke bandar kerana kami tidak mampu membayar harga bahan api.”

Beliau menambah situasi ini mengganggu pembelajaran anak-anak kerana perkhidmatan pengangkutan menjadi semakin tidak menentu.

Intervensi sasaran diperlukan

Tijah menggesa kerajaan masuk campur sebelum penderitaan Orang Asli menjadi lebih parah, dengan mendesak agar kelayakan petrol RON95 di bawah inisiatif BUDI95 ditambah dan harga diesel diturunkan.

“Mereka yang berada di pedalaman tiada pilihan. Tiada jalan raya yang sempurna, dan tiada bekalan elektrik. Bahan api adalah keperluan asas untuk kelangsungan hidup.”

Thomas Foo, yang menganjurkan bantuan makanan untuk keluarga Orang Asli, berkata sukarelawan yang dalam perjalanan ke perkampungan di Kelantan dan Gerik, Perak turut terkesan oleh kenaikan kos diesel.

“Mereka membelanjakan sekitar RM1,000 untuk bahan api bagi satu perjalanan pergi dan balik. Kini kami terpaksa mengurangkan misi bantuan sebanyak 50%. Namun, komuniti Orang Asli jugalah yang akhirnya paling terbeban akibat kenaikan harga bahan api ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.