Usah panik, bekalan bahan api P Pinang ada, kata KPDN

Usah panik, bekalan bahan api P Pinang ada, kata KPDN

Pengarah KPDN negeri S Jegan hanya Shell sahaja maklum berlaku gangguan bekalan sementara.

S Jegan
Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan, berkata pihak Shell sedang mengambil langkah sewajarnya menangani isu bekalan di beberapa stesen minyaknya melibatkan RON95 dan diesel. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menasihati orang ramai tidak panik susulan laporan gangguan bekalan bahan api di beberapa stesen minyak di negeri ini.

Pengarah KPDN Pulau Pinang S Jegan, berkata hanya satu syarikat minyak, iaitu Shell memaklumkan berlaku gangguan bekalan sementara berikutan kelewatan ketibaan kapal penghantaran berbanding jadual asal.

“Oleh yang demikian, pihak Shell sedang mengambil langkah sewajarnya untuk menangani isu ini.

“Hasil daripada mesyuarat juga mendapati stesen minyak jenama lain tidak mengalami sebarang masalah dan minyak masih boleh diperoleh dengan mudah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jegan berkata setakat ini, pihaknya hanya menerima satu laporan melibatkan stesen minyak yang menghadapi masalah bekalan RON95, manakala lima stesen lagi terjejas dari segi bekalan diesel, dengan semuanya melibatkan stesen minyak jenama Shell.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa stesen minyak di Pulau Pinang didakwa mengalami masalah bekalan bahan api, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.