
Sehubungan itu, Barjoyai Bardai mencadangkan kerajaan memperkenalkan bantuan secara terus melalui ‘kredit makanan’ kepada rakyat susulan krisis Asia Barat yang meningkatkan kos operasi dengan kesannya berkembang kepada rantaian bekalan.
Ahli ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, menerusi kaedah itu mereka boleh menebus barangan di premis perniagaan ditetapkan kerajaan.
Ketika ini kerajaan ada program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bertujuan membantu golongan miskin dan miskin tegar mendapatkan barangan keperluan asas setiap bulan.
“Lebih baik jika subsidi itu diberikan dalam bentuk kredit tunai yang boleh digunakan oleh rakyat di mana-mana premis yang telah didaftarkan dalam sistem.
“Langkah ini juga penting dalam merancakkan ekonomi setempat,” katanya kepada FMT mengulas perbincangan berkait Madani Mart yang cawangan pertamanya di Indera Mahkota, Pahang, dilancarkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, 3 April lalu.
Madani Mart yang dikendalikan Yayasan Madani adalah konsep kedai komuniti menyediakan barangan keperluan harian pada harga berpatutan dan mudah dicapai rakyat, berteraskan slogan ‘Kedai Runcit Harga Rahmah’.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, yang juga pengerusi bersama Yayasan Madani menafikan inisiatif itu sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) diperkenal semasa pentadbiran Najib Razak.
Beliau menegaskan, model itu menggunakan pendekatan baharu tanpa melibatkan perbelanjaan modal kerajaan seperti KR1M.
“Kerajaan tidak perlu lagi memberi subsidi melalui pihak ketiga yang berisiko mengundang penyalahgunaan, termasuk tindakan membeli barangan secara pukal untuk dijual semula pada harga lebih mahal,” kata Barjoyai.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Fomca, T Saravanan, berkata sebarang usaha menawarkan harga rendah kepada rakyat tidak seharusnya bersifat bermusim.
“Kena konsisten, pastikan bekalan sentiasa ada dan pemantauan harga secara terbuka untuk rujukan pengguna,” katanya.