Hamzah bayang gerakan politik baharu tanding PRN Melaka

Hamzah bayang gerakan politik baharu tanding PRN Melaka

Bekas timbalan presiden Bersatu berkata gerakan diketuainya semakin mendapat sokongan daripada bekas pemimpin dan ahli Bersatu.

Hamzah Zainudin
Hamzah Zainudin berkata lanskap politik negara memerlukan sesuatu yang lebih tegas.
PETALING JAYA:
Hamzah Zainudin memberi bayangan gerakan politik baharu sedang digerakkan akan bertanding pada PRN Melaka, sambil mendakwa sokongan terhadapnya daripada bekas pemimpin dan ahli Bersatu semakin kukuh.

Bekas timbalan presiden Bersatu itu, berkata penyertaan dalam pilihan raya tersebut penting kerana Melaka memerlukan kepimpinan berwawasan jelas demi masa depan negeri.

“Sudah tentu sebab itu Melaka perlukan mereka yang berwawasan.

“Rakyat akan tahu memilih dan menilai siapa lagi baik,” katanya pada sidang media selepas Jamuan Pagi Aidilfitri Reset di Peringit Point, Melaka.

Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas adakah gerakan politik yang diumumkannya sebelum ini akan bertanding pada PRN Melaka.

Dalam pada itu, Hamzah yang juga ketua pembangkang tidak mendedahkan platform rasmi yang akan digunakan, sebaliknya hanya memberi isyarat pengumuman mengenai wadah politik baharu akan dibuat bila tiba masa.

Hamzah turut mendakwa gerakan itu kini mendapat sokongan yang semakin bertambah daripada bekas Ahli Parlimen Bersatu, penyokong lama parti itu serta tokoh politik lain yang mahu bersama.

”Kalau sokongannya bertambah, cuba kita menilai lanskap politik negara. Lanskap politik dalam negara memerlukan sesuatu yang lebih tegas yang mampu mengeluarkan perancangan untuk masa depan negara dan rakyat.

“Saya yakin bila sampai masanya, saya umum apa parti sekalipun yang pentingnya sokongan sudah bersedia untuk bersama meneruskan perjuangan,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah turut mengelak mengulas desas-desus mengenai kemungkinan menyertai PAS, sambil menegaskan spekulasi politik tidak boleh dianggap sebagai sesuatu yang pasti.

“Bila kita dalam politik ini, desas-desus itu bukan kepastian. Jadi sebab itu saya tidak menjawab,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.