
Bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata kebolehmenangan sesebuah kerusi bergantung kepada sokongan jentera komponen, bukan tuntutan sebelah pihak.
Wan Fayhsal berkata, di kawasan seperti Machang diwakilinya, kekuatan utama terletak pada jentera PAS bukannya Bersatu, yang kini dianggapnya semakin hilang taring pada peringkat akar umbi.
“Saya boleh cakaplah, kehadiran dan jentera Bersatu tidak penting di Machang. Paling penting ialah PAS.
“Tertakluk kepada restu PAS Machang dan kepimpinan PAS Pusat (maksudnya Hadi Awang), sama ada beliau beri keizinan untuk saya bertanding lagi dan benarkan saya bertanding guna logo PAS,” katanya kepada FMT.
Semalam, Tun Faisal dilaporkan berkata, semua kerusi dimenangi Bersatu pada PRU15 termasuk kubu kuat ‘kem Hamzah Zainudin’, kekal sebagai hak milik mutlak parti itu, merujuk kerusi Parlimen seperti Larut, Gerik, Padang Rengas, Tasik Gelugor, Machang dan Indera Mahkota.
Katanya, status pemilikan kerusi dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) adalah berdasarkan kemenangan parti bukan faktor individu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob, menyifatkan Tun Faisal terlalu ‘gelojoh’ menuntut hak milik mutlak kerusi tanpa memahami realiti rundingan gabungan.
Katanya, dalam landskap politik semasa tiada istilah hak mutlak kerana setiap agihan kerusi perlu melalui proses rundingan yang dinamik antara parti komponen.
Menurutnya, beliau dan ‘gerakan reset’ Hamzah tidak berminat ‘berperang’ mengenai isu agihan kerusi buat masa ini kerana tumpuan utama ialah hala tuju gabungan politik mereka.
“Sebagai orang parti, kita akan akur pada keputusan. Jika keputusan rundingan mahu saya diletakkan di tempat lain atau digugurkan sekalipun, saya sedia terima. Yang penting berdasarkan rundingan parti,” katanya.