Sabah hanya ada 2,884 doktor

Sabah hanya ada 2,884 doktor

Sabah mempunyai 2,884 doktor berkhidmat berbanding keperluan yang dianggarkan sekitar 9,000.

doctor
Kekurangan doktor memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan di Sabah dengan doktor berhadapan beban kerja lebih berat.
KOTA KINABALU:
Sabah hanya mempunyai 2,884 doktor berkhidmat di negeri itu berbanding keperluan yang dianggarkan sekitar 9,000, mencerminkan cabaran berterusan dalam memenuhi permintaan perkhidmatan kesihatan.

Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki, berkata kekurangan itu mencerminkan isu yang lebih mendalam termasuk penurunan minat terhadap profesion perubatan dan kesukaran mengekalkan doktor di negeri itu.

Beliau berkata kekurangan itu memberi kesan kepada penyampaian perkhidmatan di Sabah dengan doktor berhadapan beban kerja lebih berat dan sering berkhidmat di kawasan pedalaman dengan sumber terhad.

“Doktor bukan sahaja merawat pesakit tetapi juga mengurus kekangan dari segi infrastruktur dan tenaga kerja. Walaupun begitu, ramai yang terus berkhidmat dengan komitmen tinggi, khususnya di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Hak dan Tanggungjawab Doktor anjuran Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah.

Julita berkata berdasarkan trend nasional oleh Kementerian Kesihatan (KKM) hanya 10% daripada 5,000 penempatan doktor baharu diisi awal tahun ini yang menunjukkan penyusutan sumber bakal doktor pada masa depan yang akan terus menekan sistem kesihatan jika tidak ditangani.

Beliau berkata kerajaan negeri turut membangkitkan keutamaan kesihatan Sabah secara langsung dengan KKM termasuk permohonan peningkatan peruntukan bagi mempercepat pembangunan infrastruktur dan menambah baik perkhidmatan.

Perkara itu, menurut beliau juga diketengahkan pada peringkat dasar termasuk perbincangan di bawah jawatankuasa teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Saya ingin menegaskan semula keperluan agar kerajaan persekutuan menilai semula bayaran insentif wilayah (BIW) dan mempertimbangkan untuk mengembalikannya kepada bentuk asal.

“Ini perlu dilengkapi dengan penambahbaikan elaun kos sara hidup bagi doktor yang berkhidmat di kawasan luar bandar dan berhadapan kekangan sumber kerana ia penting untuk motivasi serta mengekalkan doktor, khususnya di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.