
Ketua Pegawai Eksekutif T Saravanan berkata, keutamaan seharusnya diberikan kepada penyelesaian struktur meskipun mengakui pengusaha trak tunda berdepan tekanan kos yang nyata.
“Pemberian subsidi secara langsung bukanlah penyelesaian jangka panjang dan boleh memberi implikasi kepada kewangan negara serta pasaran.
“Keutamaan seharusnya diberikan kepada penyelesaian struktur, termasuk semakan kadar bayaran oleh syarikat insurans agar lebih selari dengan kos semasa,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, sebarang bentuk bantuan kerajaan pada masa hadapan mestilah disertai dengan mekanisme kawal selia yang ketat bagi mengelakkan ia akhirnya dipindahkan sebagai kenaikan kos yang perlu ditanggung oleh pengguna melalui peningkatan premium insurans.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia baru-baru ini yang sebilangan pengusaha trak tunda mula memboikot tawaran perkhidmatan daripada syarikat insurans selepas kadar bayaran sedia ada didakwa tidak lagi mampu menampung kos operasi, berikutan kenaikan mendadak harga diesel ketika ini.
Pengusaha mendakwa kadar perkhidmatan tunda di bawah insurans kekal pada paras RM3 bagi setiap kilometer sejak lima tahun lalu itu menyebabkan pendapatan mereka merosot antara 60 hingga 75%.
Mengulas lanjut, Saravanan turut menyuarakan kebimbangan bahawa situasi itu akan membuka ruang kepada pihak tidak berlesen atau ‘ulat’ untuk mengambil kesempatan.
“Dalam keadaan pengguna terdesak, mereka mungkin tiada pilihan selain menerima perkhidmatan yang tidak dikawal, sekali gus terdedah kepada caj yang melampau, penipuan atau perkhidmatan yang tidak selamat,” katanya, sambil menggesa pihak berkuasa meningkatkan pemantauan segera.
Sementara itu, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) memaklumkan beberapa langkah segera telah diaktifkan bagi menyokong pemegang polisi motor susulan gangguan perkhidmatan oleh pengusaha trek tunda yang berpunca daripada faktor ekonomi luaran di luar kawalan mereka.
Ini termasuk memberikan keutamaan kepada kes kritikal seperti kemalangan di lebuh raya atau situasi berbahaya serta menggunakan rangkaian bengkel panel bagi membantu pemandu yang terkandas.
Malah, beberapa syarikat insurans kini menawarkan fleksibiliti tuntutan bayaran balik bagi pemegang polisi yang terpaksa menggunakan perkhidmatan trak tunda bebas, tertakluk kepada terma dan syarat polisi komprehensif masing-masing.
“Walaupun faktor tersebut di luar kawalan industri insurans am, PIAM komited untuk bekerjasama dengan rakan perkhidmatan, pengawal selia dan pihak berkuasa bagi mencari penyelesaian mampan,” katanya.