Guru langgar pelajar depan surau sekolah direman 2 hari

Guru langgar pelajar depan surau sekolah direman 2 hari

Mahkamah Majistret Kota Bharu benar permohonan polis untuk dapat perintah reman bagi bantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

crash SMK Tanjung Mas
Dalam kejadian kira-kira 2.15 petang semalam itu seorang pelajar Tingkatan 1 maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dirempuh kereta di depan surau sekolah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang guru wanita yang dipercayai melanggar dua pelajar di hadapan surau sebuah sekolah di Kota Bharu, Kelantan yang mengakibatkan seorang pelajar maut semalam, direman dua hari.

Perintah reman hingga esok terhadap guru wanita berusia 57 tahun itu dikeluarkan Majistret Wan Muhammad Izzat Wan Abdullah, lapor Berita Harian.

Terdahulu, guru itu dibawa ke mahkamah menaiki trak polis pada 8.40 pagi tadi dengan memakai baju lokap.

Guru berkenaan akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media semalam melaporkan, seorang pelajar Tingkatan Satu maut, manakala seorang lagi parah selepas dilanggar sebuah kenderaan yang dipandu seorang guru wanita di hadapan surau SMK Tanjong Mas.

Ketua Polis Kota Bharu, Azmir Damiri, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira 2.15 petang.

Beliau berkata kejadian turut menyebabkan seorang lagi pelajar cedera parah pada badan dan kini dirawat di zon merah Hospital Raja Perempuan Zainab II. Pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira 1.50 tengah hari apabila pemandu wanita terbabit dipercayai tertekan pedal minyak lalu terbabas sehingga melanggar dua pelajar yang sedang memakai kasut sekolah di hadapan surau itu serta tiang batu surau terbabit,” menurut kenyataan.

Azmir berkata pelajar yang meninggal dunia itu mengalami cedera parah pada bahagian kepala dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia untuk bedah siasat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.