
Katanya, pengesanan itu berdasarkan aktiviti melibatkan kenderaan asing dan tangki ubah suai, selain 87 stesen minyak berada di kawasan sempadan.
Justeru, katanya anggota polis akan ditempatkan sementara di 151 stesen minyak tersebut dalam usaha membanteras ketirisan.
Beliau berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberikan tumpuan penguatkuasaan di lokasi berisiko lain, termasuk depoh diesel nelayan, stesen tanpa jenama, jeti haram, dan aktiviti pemindahan minyak dari kapal ke kapal atau bunkering haram.
“Sebanyak 87 stesen minyak terletak di kawasan sempadan, manakala 64 lagi dikategorikan berisiko tinggi berdasarkan lonjakan jualan mencurigakan serta aktiviti melibatkan kenderaan asing dan tangki ubah suai.
“Di Sarawak sahaja, 22 stesen minyak di kawasan sempadan seperti Limbang, Lubok Antu, dan Lundu akan dipantau pihak polis melalui operasi bersepadu,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Kuching.
Sabtu lalu, Menteri KPDN Armizan Mohd Ali, berkata Jemaah Menteri setuju syor menempatkan polis di stesen minyak bagi memperkasa penguatkuasaan susulan peningkatan risiko bahan api tiris akibat krisis tenaga global.
Beliau berkata, mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April mempersetujui syor tersebut sebagai peluasan penempatan secara statik penguat kuasa KPDN yang dilaksanakan, sejak 20 Mac.
Beliau berkata, bantuan polis diperlukan memandangkan kekangan jumlah jentera penguat kuasa KPDN dan tuntutan keperluan pemantauan lebih terperinci status bekalan dan harga barang di seluruh negara susulan konflik perang.