
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Razali Idris berkata jawatan ketua pembangkang bukan hak peribadi sebaliknya ditentukan melalui kesepakatan dalam gabungan, terutama jika berlaku perubahan keahlian seperti melibatkan Hamzah.
Menurutnya, sebelum ini Hamzah memegang jawatan itu atas kapasiti beliau sebagai wakil Bersatu dalam PN.
“Apabila berlaku pemecatan, secara prinsipnya kedudukan itu sudah berubah.
“Jika ada andaian beliau menyertai PAS dan dilantik semula sebagai ketua pembangkang, itu terpulang kepada kebijaksanaan pimpinan gabungan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas spekulasi bekas timbalan presiden Bersatu itu mungkin menyertai PAS dan kembali menerajui blok pembangkang di Parlimen.
Semalam, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar mengarahkan Setiausaha Agung Takiyuddin Hassan menulis kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul bagi memaklumkan ketiadaan ketua pembangkang buat masa ini.
Perkembangan itu susulan laporan bahawa Hamzah telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang kepada kepimpinan tertinggi PN pada Sabtu lalu.
Majlis Tertinggi PN sebelum ini memutuskan Ahli Parlimen dari PAS akan dilantik sebagai ketua pembangkang bagi menggantikan Hamzah yang dipecat 13 Feb lalu.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata pelantikan ketua pembangkang baharu akan dimuktamadkan pada mesyuarat kedua bagi penggal kelima Parlimen ke-15 dijadual berlangsung dari 22 Jun hingga 16 Julai.
Bagaimanapun, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu perlu dibuat segera yang tidak perlu menunggu sidang Parlimen akan datang.