
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan 14 menara berkenaan telah kembali beroperasi dan menyediakan perkhidmatan kepada pengguna.
“CelcomDigi melaksanakan kerja-kerja pemulihan dengan mengaktifkan semula menara komunikasi yang terjejas secara berperingkat,” menurut kenyataan.
SKMM menerangkan pihaknya menerima laporan daripada CelcomDigi berhubung gangguan perkhidmatan 2G dan 4G di Kuala Pilah pada 11 Apr.
Siasatan awal mendapati gangguan berpunca daripada aktiviti vandalisme dan kecurian ke atas sebuah menara milik CelcomDigi di Bukit Pilah, yang menjejaskan 13 menara lain serta hampir 1,668 pengguna.
Lawatan ke lokasi terjejas mendapati beberapa peralatan komunikasi termasuk radio transport system dan baseband unit dicuri.
SKMM mengingatkan perbuatan vandalisme terhadap kemudahan telekomunikasi adalah kesalahan serius bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia, yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga lima (5) tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Orang awam diseru untuk memainkan peranan dengan melaporkan kepada polis atau mana-mana pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan di sekitar menara komunikasi,” katanya.