
Hakim Azmi Ariffin, yang mengetuai panel tiga hakim, menyatakan Mahkamah Perusahaan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini telah melakukan kesilapan apabila mengambil kira kerugian keseluruhan syarikat induk, AirAsia Group Bhd (AAGB) untuk menyokong tindakan pemberhentian How.
Sedangkan AAGB adalah entiti undang-undang yang berasingan daripada AAB.
Beliau menegaskan bahawa berdasarkan prinsip entiti berasingan, kedudukan kewangan anak syarikat perlu dinilai secara sendiri, bukan berdasarkan keadaan syarikat induknya.
Menurutnya, keputusan memberhentikan How berdasarkan kerugian di peringkat kumpulan tanpa bukti kewangan khusus daripada AAB sendiri, tidak mempunyai asas undang-undang.
Hakim turut menyatakan ketua pegawai kewangan AAB sendiri mengakui bahawa tempoh yang relevan untuk membuktikan kesukaran kewangan hanyalah suku pertama dan kedua tahun 2020, namun penyata kewangan bagi tempoh tersebut tidak pernah dikemukakan di mahkamah.
Selain itu, beliau berkata penggunaan rekod cuti sakit How sebagai alasan pemberhentian adalah tidak adil dan bercanggah dengan prinsip ‘yang terakhir masuk, yang pertama keluar’ (LIFO).
Menurutnya, How berhak secara kontrak kepada 22 hari cuti sakit setahun dan mengambil cuti itu apabila tidak sihat bukanlah satu kelemahan prestasi, sebaliknya keperluan keselamatan kerana juruterbang wajib berada dalam keadaan sihat sebelum terbang.
Hakim juga menegaskan majikan telah menggunakan semula penilaian prestasi ‘lemah’ yang diberikan empat tahun sebelumnya untuk menyokong keputusan pemberhentian, yang sepatutnya tidak diterima sebagai alasan yang sah.
Beliau turut mengkritik kegagalan AAB mengambil langkah-langkah alternatif seperti digariskan dalam Kod Amalan Keharmonian Perusahaan, termasuk mengehadkan pengambilan pekerja, mengurangkan kerja lebih masa, memendekkan waktu kerja atau menawarkan latihan semula dan penempatan semula.
Ini menunjukkan kurangnya keadilan dalam pengurusan pekerja.
How juga sebenarnya telah menawarkan penyelesaian munasabah dengan mencadangkan untuk mengambil cuti tanpa gaji selama dua tahun bagi mengekalkan pekerjaannya — satu tindakan yang disifatkan sebagai pengorbanan daripada pekerja yang setia demi membantu syarikat menghadapi krisis.
Mahkamah turut berpendapat Mahkamah Tinggi hanya bergantung kepada keputusan Mahkamah Perusahaan tanpa menilai sama ada keputusan itu tidak munasabah atau dibuat berdasarkan alasan yang tidak relevan.
Panel hakim yang turut dianggotai Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Evrol Mariette Peters mengarahkan AAB membayar tambahan RM50,000 sebagai kos kepada How, yang kini bekerja sebagai juruterbang di syarikat penerbangan lain.
Jumlah RM147,400 yang dianugerahkan merangkumi gaji tertunggak selama 24 bulan serta pampasan menggantikan pemulihan kerja berdasarkan satu bulan gaji bagi setiap tahun perkhidmatan selama 10 tahun.
Mahkamah juga mengambil kira bayaran terdahulu sebanyak RM16,500 sebagai pampasan pemberhentian serta RM23,100 pendapatan selepas beliau diberhentikan.
How menyertai AAB pada tahun 2009 dan diberhentikan pada Jun 2020.
Sebelum ini, Mahkamah Perusahaan menolak kes beliau pada tahun 2023 dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi apabila permohonan semakan kehakimannya ditolak tahun lalu.