
Presiden Rosli Sulaiman berkata moratorium hanya memberi kelegaan sementara dan tidak menyelesaikan beban kos jangka panjang yang ditanggung penjaja.
“Moratorium ini hanya enam bulan. Selepas itu, peniaga kembali terbeban. Lebih baik kita turunkan kadar sewa kepada 50%,” katanya kepada FMT.
Rosli juga mencadangkan pengurangan sewa dilaksanakan sehingga keadaan ekonomi kembali stabil. “Kalau sewa RM200, kurangkan separuh setiap bulan. Itu lebih membantu peniaga kecil yang tertekan dengan kos sara hidup.”
Katanya lagi, pengurangan kadar sewa akan turut membantu MyKiosk di kawasan tidak strategik, terutama yang terbiar.
Rosli menarik perhatian kepada langkah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengurangkan kadar sewa sehingga 50% bermula 1 April tahun ini sehingga 31 Dis 2027, sebagai contoh yang boleh diperluaskan ke peringkat nasional.
Sementara itu, Naib Presiden Gabungan Peniaga dan Penjaja Kecil Melayu Malaysia, Mohamad Abdullah, berpandangan moratorium sewa wajar bersama pengurangan kadar sewa sebanyak 50%.
Berkenaan tempoh moratorium sewa, beliau mencadangkan pendekatan fleksibel bagi kiosk kecil.
“Bagi kiosk kecil yang tidak menggunakan lesen atau beroperasi di tepi jalan, moratorium wajar diberi sehingga setahun supaya mereka boleh berkembang daripada perniagaan kecil ke sederhana,” katanya.
Sekiranya moratorium penuh tidak dapat dilaksanakan, beliau mencadangkan pihak berkuasa tempatan mempertimbangkan pengurangan kadar sewa antara 50% sehingga 80%.
“Dulu pendapatan mungkin mencukupi, tetapi sekarang dengan pelbagai kos meningkat, keuntungan semakin kecil,” katanya.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, mencadangkan kerajaan melaksanakan moratorium sewa MyKiosk selama enam bulan bagi meringankan beban penjaja kecil yang berdepan tekanan kos operasi, susulan kenaikan harga bahan api, kos logistik, dan bahan mentah yang menjejaskan margin keuntungan.
Menurut laporan, beliau menganggarkan kos bantuan hanya melibatkan antara RM8.6 juta hingga RM13 juta, berdasarkan 7,243 unit kiosk di seluruh negara dan kadar sewa antara RM200 ke RM300 sebulan.
MyKiosk diwujudkan bertujuan membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana bagi meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk setempat.