Axelsen umum gantung raket

Axelsen umum gantung raket

Pemenang dua emas Olimpik itu bersara susulan masalah kecederaan belakang berulang.

Bekas pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen, berkata tubuhnya tidak lagi mampu bersaing dan berlatih pada tahap tertinggi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pemenang dua pingat emas Olimpik Viktor Axelsen hari ini mengumumkan persaraannya daripada badminton profesional pada usia 32 tahun, berikutan masalah kecederaan belakang berulang.

Bekas pemain nombor satu dunia itu, berkata tubuhnya tidak lagi mampu untuk bersaing dan berlatih pada tahap tertinggi.

“Selepas menjalani pembedahan endoskopik, pelbagai suntikan, kaedah latihan baharu, rawatan, dan pada asasnya mencuba segala-galanya untuk bebas daripada kesakitan sejak sekian lama, saya telah dinasihatkan untuk memberi tumpuan kepada kesihatan jangka panjang.

“Menerima keadaan ini amat sukar. Namun, saya kini sampai ke satu tahap yang tubuh saya tidak lagi membenarkan saya untuk meneruskannya,” katanya dalam kenyataan di media sosialnya.

Axelsen, yang menjadi pemain profesional pada 2010, bersara dengan rekod sebagai antara pemain badminton perseorangan lelaki paling berjaya dalam sejarah sukan itu.

Sepanjang kerjayanya, pemain dari Denmark itu telah memenangi kebanyakan kejuaraan utama sekurang-kurangnya sekali, termasuk Sukan Olimpik, Kejohanan Dunia, All England, dan Piala Thomas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.